KUALA LUMPUR – Jumlah kerusi yang diperuntukan Pakatan Harapan (PH) kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan 52 kerusi tidak bermakna parti serpihan UMNO itu lebih dominan daripada parti pembangkang lain.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi oleh mana-mana parti komponen PH itu bakal menentukan siapa paling dominan dalam gabungan pembangkang itu.
“Walaupun DAP bertanding 35 kerusi, 33 daripadanya adalah kerusi yang telah dimenangi mereka dan DAP yakin akan dapat mengekalkan kerusi-kerusi berkenaan.
“Meskipun PPBM dapat 52 kerusi, tapi semuanya di kerusi tradisi UMNO dan berkemungkinan mereka tidak akan menang satu pun kerusi.
“DAP pula akan terus bertanding di Sarawak & Sabah (untuk mengekalkan kemenangan),” katanya menerusi aplikasi Whatsapp hari ini.
Dalam Konvensyen Pakatan Harapan ke-2 di Pusat Konvensyen IdealĀ Shah Alam pada Ahad lepas mengumumkan pembahagian kerusi Parlimen bagi empat parti komponen pembangkang itu.
Pengumuman itu menyaksikan PPBM memperoleh paling banyak iaitu 52 kerusi, disusuli Parti Keadilan Rakyat (PKR)-51, DAP-35 dan Parti Amanah Negara (PAN)-27.
Jamal juga berkata, DAP tetap menjadi parti dominan dalam PH kerana kerusi yang diberikan kepada PPBM hanya berpotensi untuk kalah meskipun parti Tun Dr Mahathir Mohamad itu paling banyak diberikan kerusi untuk bertanding.
“Ramai yang tertipu kononnya Warisan akan mewakili PH di Sabah dan Sarawak sebab Warisan tiada di Sarawak.
“Nampaknya parti bunga digula-gulakan oleh DAP dengan beri banyak kerusi yang mereka tidak boleh menang sedangkan kerusi yang ditandingi DAP sikit tapi boleh menang.
“Akhirnya DAP tetap jadi parti dominan dalam PH,” katanya.
Katanya lagi, DAP hanya mempergunakan parti yang berasaskan Melayu itu semata-mata untuk merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN) dengan berkempen di kubu kuat UMNO khususnya kawasan Felda.
“Agenda mereka untuk menyamaratakan semua kaum dan agama. Mereka meneruskan agenda itu kerana mendapat sokongan Melayu yang membenarkan diri mereka diperalatkan demi kepentingan peribadi,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.