Home Ekonomi KLIMS kembali tahun ini

KLIMS kembali tahun ini

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) bersalaman dengan Pengerusi Trade-Link Exhibition Services Sdn. Bhd., Datuk Zainal Abidin Ahmad (dua kanan) selepas menyaksikan majlis Pemeteraian Perjanjian Penganjuran Pameran Kenderaan Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 10 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Persatuan Automotif Malaysia (MAA) hari ini mengumumkan kembalinya Pameran Kenderaan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) setelah kali terakhir diadakan pada 2013.

Pameran itu bakal diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 23 November sehingga 2 Disember depan.

Pengumuman itu dibuat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Saya harap pameran ini dapat menarik ramai lagi pempamer di peringkat ASEAN agar lebih ruang dan peluang kepada pengeluar kereta tempat untuk memasuki pasaran ASEAN.

“Saya juga harap ia akan dapat menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia dan menjadikan ia pusat global di peringkat antarabangsa,” katanya.

Mustapa menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Pemeteraian Perjanjian Penganjuran Pameran Kenderaan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS).

Hadir sama Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran Kurusamy dan Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Roslan Abdulah.

KLIMS mula diadakan pada 2000 dan kali terakhir diadakan pada 2013.

Memasuki edisi kesembilan, KLIMS 2018 dijangka mampu melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu 350,000 pengunjung.

Pameran yang bertemakan “Beyond Mobility”, KLIMS merupakan acara automotif paling mapan dan signifikan di Malaysia.

Antara yang telah mengesahkan penyertaan adalah Daihatsu, Ford, Honda, Hyundai, Infiniti, Isuzu, Kawasaki, Kia, Lexus, Mitsubishi, Nissan, Peugeot, Perodua, Proton, Toyota, UD, V-Kool dan 3M. – MalaysiaGazette