DUBAI – Lonjakan harga minyak pada awal tahun ini kepada paras tertinggi sejak Mei 2015 memberi kegembiraan kepada OPEC.
Namun, para pengeluar bimbang keuntungan yang dikaut bakal dijejaskan oleh syarikat-syarikat pengeluar syal.
Penanda aras minyak mentah Brent mentah meningkat lebih tinggi daripada AS$68 setong pada dagangan hari ini, disokong oleh pengurangan pengeluaran minyak yang diketuai oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu termasuk Rusia yang akan dijalankan sehingga akhir tahun 2018.
Lonjakan ini sebagai rangsangan hasil negara-negara pengeluar minyak selepas ramai yang terasa bahang selepas kejatuhan harga emas hitam itu bermula pada pertengahan 2014 di bawah paras AS$100 setong kerana lebihan bekalan.
Beberapa pengeluar OPEC bimbang lonjakan yang berpanjangan akan merangsang lebih banyak pengeluaran minyak syal Amerika Syarikat yang akan menjejaskan harga dan penguasaan pasaran.
“Kami semua teruja dengan kenaikan ini dan mahu melihat sama ada ia akan menjadi mampan pada tahun ini kerana ia pasti membangkitkan keupayaan pengeluar syal,” kata seorang pegawai dari negara OPEC.
Menteri Minyak Iran, pengeluar terbesar ketiga di OPEC berkata, anggota organisasi tidak berminat terhadap kenaikan harga kerana keuntungan sedemikian akan menggalakkan lebih banyak pengeluaran syal.
OPEC tidak mempunyai sasaran rasmi untuk harga minyak.
Bagaimanapun, Arab Saudi, pengeluar utama OPEC, mahu melihat harga minyak mentah berlegar di atas AS$60 setong untuk meningkatkan penilaian syarikat minyaknya, Aramco sebelum tawaran saham awal awal tahun ini dan untuk mengurangkan jurang dalam bajet negara, kata sumber Saudi. – MalaysiaGazette