Home Nasional Pensyarah ILP mati dilanggar treler

Pensyarah ILP mati dilanggar treler

Lokasi kejadian kemalangan membabitkan sebuah Nissan Serena dan treler di Kilometer 8, Jalan Jemaluang-Mersing, Mersing, Johor.

MERSING – Seorang pensyarah di Institut Latihan Perindustrian (ILP) maut selepas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaikinya bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 8 Jalan Jemaluang-Mersing, Mersing pada pagi ini.

Dalam kejadian pada 7.40 pagi itu, anak lelaki mangsa, Ahmad Azham Muhammad, 40, yang berusia 7 tahun cedera parah.

Semasa kejadian, mangsa yang memandu Nissan Serena dalam perjalanan menghantar anaknya ke Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAP) di Bandar Mersing.

Ketua Polis Daerah Mersing Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila treler terbabit membrek mengejut untuk mengelak sebuah kenderaan lain yang memasuki simpang kanan.

Menurutnya, treler yang dipandu lelaki berusia 34 tahun itu dalam perjalanan ke Pengerang di Kota Tinggi.

Tambahnya, mengikut laporan, disebabkan insiden itu, treler berkenaan dipercayai berpusing dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan mangsa.

“Pertembungan itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian manakala anak lelakinya pula cedera parah dan pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dari Felda Bukit Aping dihantar ke Hospital Mersing untun dibedah siasat dan anaknya turut dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.

Cyril menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette.