KUALA LUMPUR – Kejadian struktur bangunan dalam pembinaan runtuh berhampiran pusat beli-belah MyTown semalam tiada kaitan dengan projek Transit Aliran Massa (MRT) Lembah Klang.
Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Najmuddin Abdullah berkata, pembinaan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang dengan Stesen MRT Cochrane antara stesen laluan itu sudah siap dan dibuka kepada orang ramai sejak Julai lalu tahun lalu.
Malah, katanya, MRT Corp juga tidak lagi melakukan kerja-kerja di tapak Stesen MRT Cochrane.
“Insiden terbabit tidak ada kaitan dengan projek MRT,” katanya dalam kenyataan yang menafikan dakwaan kejadian runtuhan yang mengorbankan seorang buruh binaan Bangladesh berlaku adalah sebahagian daripada projek di stesen MRT tersebut.
Sebaliknya, runtuhan itu membabitkan substesen yang sedang dibina oleh Tenaga Nasional Berhad untuk menaik taraf bekalan di kawasan berkenaan.
Najmuddin menjelaskan, substesen itu terletak bersebelahan dengan Stesen MRT Cochrane, disebabkan itu ia menggunakan nama lokasi tersebut. – MalaysiaGazette