Home Utama Pengurusan kes buli T. Nhaveen 26 Feb ini

Pengurusan kes buli T. Nhaveen 26 Feb ini

Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 26 Februari depan sebagai pengurusan kes membabitkan empat remaja lelaki yang didakwa membunuh mangsa buli, T. Nhaveen, 18, pada Jun tahun lalu.

PULAU PINANG – Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 26 Februari depan sebagai pengurusan kes membabitkan empat remaja lelaki yang didakwa membunuh mangsa buli, T. Nhaveen, 18, pada Jun tahun lalu.

Tarikh itu ditetapkan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fatin Hussin memaklumkan pihaknya sudah menerima laporan kimia dan perubatan mangsa.

Sementara itu, peguam keluarga mangsa, Datuk Baljit Singh berkata, pihak pendakwaan bagi kes akan menfailkan permohonan untuk kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pada prosiding secara tertutup hari ini, ibu Nhaveen, D. Shanti serta ahli keluarga keempat-empat tertuduh turut hadir di mahkamah bagi mengikuti perkembangan kes yang mendapat perhatian masyarakat itu.

Pada 19 Jun tahun lalu, empat remaja berkenaan termasuk pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh Nhaveen.

J.Ragesuthen dan S.Gokulan masing-masing berusia 18 tahun serta dua lagi remaja lelaki didakwa melakukan perbuatan itu secara bersama antara pukuk 11 malam hingga 12 tengah malam berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, Gelugor, dekat sini pada 9 Jun tahun lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di sini, Hakim Irwan Suainbon turut menetapkan tarikh 26 Februari depan sebagai sebutan semula kes bagi empat remaja berkenaan berhubung dakwaan mencederakan rakan Nhaveen, T. Preevin, 19.

Irwan menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa, Raya Farah Aimy Zainul memberitahu mahkamah pihaknya sudah menerima semua laporan perubatan dan kimia mangsa dan memohon satu tarikh sebutan bagi serahan kesemua dokumen tersebut.

Kesemua tertuduh berkenaan didakwa mencederakan Preevin di tempat, masa dan tarikah yang sama.

Empat remaja itu, yang kini ditahan di Penjara Juvana Sungai Petani dan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Dalam kejadian pukul 2.10 pada 9 Jun tahun lalu, lima remaja berusia antara 16 dan 18 tahun dilapor memukul Nhaveen dan Previin menggunakan topi keledar.

Previin yang turut cedera bagaimanapun dapat melarikan diri ketika mereka dikatakan cuba diheret ke padang berdekatan.

Nhaveen yang mengalami kecederaan parah dilapor turut mengalami kesan koyak pada duburnya akibat ditusuk objek tumpul serta kesan terbakar di bahunya.