GUA MUSANG – Pas menyifatkan pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lebih baik daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam konteks pembangunan negeri ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, ketika zaman Dr. Mahathir, Kelantan dianaktirikan, pembangunan disekat bagi memberi tekanan kerajaan negeri.
Beliau berkata, pada hari ini, kerjasama di antara kerajaan negeri dan Pusat amat baik sehingga membawa perubahan yang amat positif untuk rakyat.
“Jika kita guna bahasa kasar kita ‘dianak tirikan’ pada waktu itu (zaman Dr. Mahathir) tetapi Alhamdulilah, era Perdana Menteri sekarang ini hubungan antara negeri dengan pusat bertambah baik.
“Disebabkan itu kita tengok banyak pembangunan berlaku di Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pelancaran Petak Kajian Pokok Eucalyptus Negeri Kelantan di Hutan Simpan Betis, Lojing, di sini, hari ini.
Majilis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Mohd. Amar juga Naib Presiden Pas berkata, walaupun memerintah negeri ini selama 22 tahun namun zaman Dr. Mahathir sudah berlalu.
“Bila Pakatan Harapan calonkan Mahathir sebagai Perdana Menteri semula sebenarnya undur ke belakang.
“Dunia hari ini amat berbeza. Zaman dia sudah berlalu,” katanya.