Home Utama Ka Chuan tak bertanding PRU-14?

Ka Chuan tak bertanding PRU-14?

Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan bercakap pada sidang media mengenai Perhimpunan Teguh Bersama MCA dan Gerakan di Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 02 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR –  Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai enggan mengulas desas desus yang mendakwa Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan tidak akan bertanding pada PRU-14.

Sebaliknya, dengan nada tegas, Tiong Lai memberitahu, beliau tidak akan bercakap tentang calon-calon MCA sebaliknya hanya akan mengadakan perbincangan tertutup dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga merupakan Menteri Pengangkutan memberitahu, isu berkaitan parti adalah perkara dalaman parti tidak perlu dibincangkan secara terbuka.

“Saya tidak dapat jawab soalan anda kerana saya tidak akan berbincang tentang isu dalaman calon MCA dengan media sebaliknya hanya akan bercakap dengan Perdana Menteri.

“Isu dalaman parti khasnya tentang calon yang akan bertanding pada PRU depan bukan satu perkara yang perlu diuar uarkan kepada media terlebih dahulu sebaliknya selepas perbincangan dan persetujuan baru kita boleh dedahkan kepada pihak media.

“Kita sedang melakukan persiapan yang terbaik untuk menghadapi PRU kali ini, masing-masing dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi sedang bekerja dengan keras bagi kemenangan lebih besar pada pilihan raya nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Penyampaian Anugerah Tertinggi Kelab Rotary kepada kakitangan KTMB di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang Ahli Parlimen Tanjong Malim merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia II, Ka Chuan yang berkemungkinan besar tidak bertanding dan digantikan dengan Pengerusi MCA Perak dan Ahli Dewan Undangan Chenderiang, Dr. Mah Hang Soon.

Sebelum ini, Tiong Lai telah menghantar senarai calon untuk pemerhatian Najib sebelum bertindak membuat sebarang pengumuman.

 

Laporan media menyebut, Ka Chuan juga telah ‘bercakap’ dengan Tiong Lai untuk membenarkan calon baru menggantikan beliau untuk kerusi tersebut.

Ka Chuan berjaya mengekalkan kerusi Tanjong Malim dengan majoriti tipis sebanyak 4,328 undi pada 2013.

Tanjong Malim yang mempunyai 64,499 pengundi berdaftar terdiri daripada 53% Melayu, 27% Cina dan 14% India.

Pada pilihan raya 2008, Ong memenangi Tanjong Malim dengan majoriti 5,422 undi pada tahun 2008.

Ong, 64, adalah Adun Chenderiang sejak tahun 1986 hingga tahun 2004.- MalaysiaGazette