KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad sepatutnya sedar diri, demikian kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai pencalonan Pakatan Harapan (PH) untuk menjadikannya Pengerusi PH itu sebagai Perdana Menteri sementara.
Tambahnya, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sepatutnya menerima hakikat kepimpinannya telah berakhir dan memberi peluang kepada pemimpin lain yang lebih layak.
“Dia dulu bekas Perdana Menteri dia sudah tahu bahawa apa yang dilakukan Perdana Menteri sekarang (Datuk Seri Najib Razak) adalah yang terbaik demi negara kita, ia berbeza kerana masa beredar dan berubah kita kena terima hakikat bahawa keadaan ini masa ini berlainan ketika dia mentadbir negara ini,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Perpustakaan 1Wilayah Persekutuan Medan Idaman di Setapak hari ini.
Tengku Adnan secara berseloroh menyuarakan rasa hairannya kepada PH yang mahu melantik Tun M sambil menyifatkan ia sebagai bukti kukuh pembangkang ketandusan calon.
“Ini masalah, barangkali mereka tidak ada calon dan ketandusan calon itu pertama, kedua saya tak faham kenapa mereka nak kitar semula kerana Tun M telah meletakkan jawatan selepas 22 tahun mentadbir negara.
“Saya pun hairan kenapa dia minat balik untuk dia nak mentadbir dan menjadi perdana menteri saya pun tak faham,” ujarnya.
PH pada konvensyennya 7 Januari lalu membuat keputusan menjadikan Tun M sebagai Perdana Menteri manakala Presiden PKR Datuk Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula timbalannya.
Keputusan ini kemudiannya melahirkan rasa kecewa akar umbi PKR Selangor yang menganggap perjuangan dan reformasi pembangkang semakin terpesong. -MalaysiaGazette