Home Utama BN Selangor tawar SRA percuma, taska bantu B40

BN Selangor tawar SRA percuma, taska bantu B40

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berucap pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Sosial NBOS Kejiranan Indah di Mentari Court, Taman Seri Mentari, Petaling Jaya, Selangor. foto NIZAM ZAIN, 14 JANUARI 2018
PETALING JAYA – Barisan Nasional (BN) akan memansuhkan bayaran yuran di Sekolah Rendah Agama (SAR) di Selangor dan membantu golongan B40 jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, langkah itu bagi meringankan beban ibu bapa khususnya B40 yang ketika ini terpaksa membayar yuran dan buku untuk mendapatkan pendidikan agama di negeri tersebut.
“Kalau BN menang di Selangor, kita berjanji akan memberi tumpuan lebih kepada soal pendidikan. Kita akan beri pendidikan percuma kepada semua SRA seluruh Selangor.
“Pelajar juga akan mendapat pinjaman buku teks sebagai mana dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan di sekolah kebangsaan pada masa ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Transformasi Sosial NBOS Kejiranan Indah di Mentari Court, Taman Seri Mentari, di sini, hari ini.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Sosial NBOS Kejiranan Indah di Mentari Court, Taman Seri Mentari, Petaling Jaya, Selangor. foto NIZAM ZAIN, 14 JANUARI 2018

Pada masa ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenakan yuran tetap, yuran PIBG serta bayaran buku dan keperluan murid lebih RM300 kepada pelajar-pelajar yang ingin mendapatkan pendidikan agama di SRA di negeri itu.

Noh selaku Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga bakal mewajibkan setiap bangunan strata khususnya perumahan kos rendah dan sederhana di negeri itu menyediakan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) di bangunan mereka.

Beliau berkata, ia bagi membantu dan memudahkan golongan B40 khususnya pasangan muda yang masih tercari-cari pusat jagaan kanak-kanak apabila mereka keluar bekerja.

“Mereka ini saya lihat memang menghadapi masalah kerana nak hantar anak atau suruh orang jaga pun susah, dan mungkin nak cari orang gaji pun susah.

“Kalau kita sediakan taska dan tadika ini dalam blok tersebut (flat), di tingkat bawah, kalau mereka nak pergi bekerja terutamanya kerja sendiri atau pun swasta, mereka tinggalkan anak-anak mereka di situ,” jelasnya.

Katanya, dengan wujudkan taska dan tabika di unit pangsapuri, ia dapat mengelakkan penghuni yang rata-rata golongan B40 menanggung kos tinggi jika menghantar anak mereka di taska swasta.

“Pusat jagaan di bawah Jabatan Kemajuan dan Masyarakat (Kemas) dan tabika milik Jabatan Perpaduan, yurannya agak murah kerana ia ditanggung oleh kerajaan.

“Kalau BN menang esok di Selangor, bukan sahaja taska dan tadika disediakan di Lembah Klang malah di seluruh Selangor ditambah untuk membantu ibu bapa menghantar anak-anak dalam kawasan perumahan mereka saja.

“Sudah tentu kosnya dan yurannya jauh lebih rendah daripada tadika dan taska swasta yang sedia ada di Selangor,” katanya. – MalaysiaGazette