Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, walaupun berbeza ideologi politik, namun demi menyelamatkan ribuan nyawa, kerajaan pusat memperuntukkan RM10 juta bagi mengatasi masalah tersebut.
“Bila sebut soal kesihatan, kita tidak fikir parti. Nyamuk (Aedes) tak kira orang mana, Pas, PAN atu BN, dia serang tak kira parti.
“Kita lihat Kerajaan Negeri Selangor gagal malah sudah lama gagal dan masih mengekalkan johan nombor satu (kes denggi di Malaysia).
“Kalau kita tengok kerajaan negeri tidak berapa mampu (tangani denggi) jadi kita bantu untuk mengatasi masalah denggi ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Transformasi Sosial NBOS Kejiranan Indah di Mentari Court, Taman Seri Mentari, Petaling Jaya, Selangor, hari ini.
Sebanyak 82,314 kes denggi direkodkan di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga 23 Disember tahun lepas dengan Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi.
Statistik Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan menunjukkan sebanyak 44,451 kes denggi dilaporkan di Selangor, diikuti Johor (7,792), Kuala Lumpur (6,671), Perak (5,331), Negeri Sembilan (3,022) dan Pulau Pinang (2,573).
Pada masa sama, 170 kematian akibat denggi direkodkan dalam tempoh Januari hingga 16 Disember tahun lepas.
Noh berkata, buat masa ini, kementeriannya telah meluluskan RM1 juta bagi pemasangan alat Integrated Mosquito Killer yang hanya menggunakan kuasa solar yang dipasang dalam kawasan perumahan berstrata di Selangor.
“Insya-Allah kita akan sambung pemasangan alat itu di seluruh Malaysia dengan baki peruntukan RM9 juta lagi pada tahun ini.
“Kos bagi satu alat ini lebih kurang RM4,000 untuk kita pasang di kawasan-kawasan di mana tempat nyamuk aedes tinggi, di Selangor ini kita sudah dapat di Selangor, di luar Selangor pun kita akan pasang.
“Alat ini dapat mengurangkan masalah denggi di Selangor terutamanya di Lembah Klang kerana kita tahu Selangor merupakan negeri menjuarai nombor satu kes denggi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette