Home Nasional Dakwaan Ismail Mina tidak tepat – Persatuan bekas tentera Cina

Dakwaan Ismail Mina tidak tepat – Persatuan bekas tentera Cina

Ismail Mina

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Veteran Cina Angkatan Tentera Malaysia (Macva) Mejar Tan Pau Son menepis dakwaan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Ismail Mina bahawa hanya kaum Melayu yang berjuang mempertahankan negara dalam menentang komunis dan musuh negara lain.

Tambah Pau Son, terdapat beberapa pejuang bukan Melayu yang menentang Parti Komunis Malaya (PKM) ketika itu antaranya Templers’12 adalah perintis Angkatan Tentera Diraja Malaysia.

“Dakwaan Ismail tidak tepat secara fakta dan sejarah serta memperkecilkan sumbangan veteran bukan Melayu terutama pesara tentera Cina, Iban, Indian, Sikh dan ramai lagi.

“Ada Templers’12 dan antara mereka adalah Jeneral Mejar Lai Chung Wah, Jeneral Mejar Leong Siew Ming, Leftenan Kolonel Khong Kim Kong, Leftenan Kolonel Peter Ng Boon Hwa, General Mejar N. Selvarajah.

“Daripada 12 anggota, tujuh adalah bukan Melayu, enam adalah Cina, mereka adalah kumpulan pertama yang dihantar ke akademi Royal Military di England,” katanya memetik laporan The Malaysian Insight.

Pau Son berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Ismail bahawa hanya bangsa Melayu merupakan bangsa yang bergadai nyawa untuk Tanah Melayu ketika itu.

Kata Ismail dalam Konvensyen Kebangkitan Ummah Sabtu lalu, berdasarkan sejarah, bangsa Melayu sebelum ini telah dibunuh oleh PKM yang dikenali sebagai ‘bintang tiga’.

Malah beliau turut merayu agar kaum Melayu tidak lupa akan sejarah berkenaan.

“Ini bukan rasis tapi nak cerita sejarah. Yang menentang Siam adalah Melayu. Kemudian, siapa yang menentang penjajah Portugis kalau bukan Melayu padahal pada zaman itu sudah ada orang bukan Melayu.

“Yang menentang penjajah Jepun, Inggeris ialah Melayu. Orang Melayu jugalah yang menentang penjajahan bintang tiga (komunis).

“Pada penjajahan bintang tigalah orang Melayu dibunuh,” kata Ismail Mina. -MalaysiaGazette.