BEIJING – Kapal tangki minyak Iran yang terbakar di Laut China Timur telah tenggelam, seminggu selepas ia bertembung dengan satu lagi kapal kargo.
Media China melaporkan kapal tangki Sanchi yang didaftarkan Panama tenggelam hari Ahad selepas berlaku letupan kuat.
Kapal tangki Sanchi membawa 136,000 tan – sekitar 1 juta tong minyak dari Iran ke Korea Selatan apabila ia bertembung dengan kapal pengangkut CF Crystal yang berpangkalan di Hong Kong di Laut China Timur pada 7 Januari lalu.
Berikutan kemalangan itu, pihak berkuasa maritim China melancarkan operasi mencari dan menyelamat 30 anak kapal Iran dan dua Bangladesh yang berada di atas kapal Sanchi.
Kesemua 21 anak kapal kargo berjaya diselamatkan.
Iran menyertai usaha menyelamat antarabangsa yang diketuai oleh China, menghantar pasukan penyelamat sendiri, termasuk komando tentera laut Iran dengan bot laju. Tetapi pasukan tidak dapat mendekati kapal tangki yang marak terbakar.
Sebuah kapal Jepun cuba memadamkan api di Sanchi pada hari Rabu lalu.
Tiga mayat dari kapal itu berjaya ditemui beberapa jam sebelum kapal itu tenggelam.
Iran mengumumkan kesemua anak kapal itu mati dalam kejadian itu.
Jurucakap Pasukan Petugas Khas Iran, Mohammad Rastad berkata, berdasarkan saksi dalam kalangan kru CF-Crystal serta pekerja-pekerja penyelamat, anak kapal Sanchi mungkin meninggal dunia lebih awal berikutan ledakan besar dan pelepasan gas toksik.
Usaha selanjutnya untuk mendapatkan mayat-mayat mangsa dihalang oleh letupan di atas kapal tangki selain angin kencang dan ombak tinggi di laut.
Sejak perlanggaran awal, kapal tangki itu telah terbakar dan hanyut di perairan antara Shanghai dan selatan Jepun. – MalaysiaGazette