Home Nasional Guna platform antarabangsa bantah EU sekat minyak sawit

Guna platform antarabangsa bantah EU sekat minyak sawit

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaludin (tengah) bergambar kenangan pada sidang media bagi menyatakan bantahan Malaysia terhadap tindakan Kesatuan Eropah (EU) memboikot minyak sawit di Menara Felda, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 15 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) membantah resolusi sekatan minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) dan akan menggunakan platform antarabangsa bagi menyuarakan kekesalan mereka.

Menurut Presiden MBM, Mua’amar Ghadafi Jamaludin, pihaknya akan menghantar wakil untuk mengemukakan bantahan tersebut pada Majlis Belia Komenwel yang bersidang April ini sebagai mesej kepada pemimpin EU yang hadir.

Selain itu Majlis Belia Asia (AYC) dan Perhimpunan Belia Sedunia (WAY) juga akan turut mengetengahkan pandangan Malaysia bersama-sama rakan negara seperti Indonesia dan Thailand.

“MBM juga akan bawa isu ini di dalam perbincangan di peringkat antarabangsa melalui persidangan belia antarabangsa yang akan diadakan. Kita akan ajak belia di Indonesia di Thailand dan hendak memberi tekanan ini bahawa kesan tindakan EU memberi kesan besar kepada negara pengeluar sawit.

“Antaranya adalah Majlis Belia Asia, dan Majlis Belia Komanwel. Semua persidangan ini akan bermula pada awal bulan depan dan isu ini kita akan bawa dua wakil kita akan dihantar pada April yang mana ianya juga turut dihadiri oleh kepimpinan negara EU,” katanya kepada pemberita ketika sidang media hari ini.

Presiden Majlis Belia Malaysia, Mua’amar Ghadafi Jamaludin bercakap pada sidang media bagi menyatakan bantahan Malaysia terhadap tindakan Kesatuan Eropah memboikot minyak sawit di Menara Felda, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 15 JANUARI 2018.

Antara isu yang akan dibangkitkan oleh MBM adalah kesan tindakan EU terhadap golongan muda yang turut menjadi sebahagian daripada pekebun kecil di dalam negara.

Jelas Mua’mar, kesan jangka masa panjang yang sepatutnya dipertimbangkan adalah masa depan golongan anak muda yang bakal kehilangan punca pendapatan apabila Malaysia tidak lagi menjadi antara pengeluar minyak sawit kepada EU sekaligus mencetuskan risiko penularan gejala sosial.

“Daripada 600, 000 pekebun kecil sebahagian besar mereka adalah golongan muda dan jika mereka kehilangan pendapatan akan membawa kepada masalah lain contohnya terdedah kepada gejala sosial yang memberi kesan bukan sahaja kepada ekonomi negara malah memberi kesan yang tidak baik kepada keadaan gejala sosial dalam negara.

“Kita tidak mahu anak muda dalam tempoh lima hingga enam tahun dari sekarang mereka hilang punca pendapatan.

“Semua orang sekarang bercakap tentang gejala sosial bukan sahaja peringkat bawah atasan juga risau akan masalah gejala sosial kita tidak mahu gejala sosial ini bertambah lagi apabila anak muda hilang punca pendapatan,” tambahnya.

Beliau dalam pada itu berharap kerajaan tidak akan mengenepikan pekebun kecil yang bakal terjejas daripada keputusan EU itu.

“MBM berharap kerajaan akan mengambil segala tindakan yang perlu untuk melindungi hak pekebun kecil dan menjamin masa depan sektor minyak sawit,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu Majlis Belia Felda akan menghantar memorandum kepada 17 kedutaan EU dalam negara pada 16 Januari untuk menyuarakan bantahan sekatan tersebut. – MalaysiaGazette