Home Politik PRU-14: Calon BN perlu berani pertahan parti

PRU-14: Calon BN perlu berani pertahan parti

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Pejabat Peguam Negara, Putrajaya mendesak membuka semula kertas siasatan dan menubuhkan RCI berhubung skandal BMF, pembunuhan Jalil Ibrahim, peranan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin di sebalik penyelewengan BMF.
KUALA LUMPUR – Mana-mana calon Barisan Nasional (BN) yang dinamakan bertanding pada PRU-14 perlu berani menjawab tuduhan dan mempertahankan parti daripada serangan pembangkang.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao berkata, ia sudah menjadi kewajipan kepada semua calon-calon BN.

“Calon PRU-14 mestilah berani menjawab spekulasi, berani mempertahankan perjuangan parti dan institusi negara, berani melawan fitnah serta penipuan pembangkang.

“Mereka juga perlu selalu berada dengan rakyat mendengar masalah mereka serta mencari jalan penyelesaian untuk rakyat serta rajin turun padang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramesh juga menegaskan, kepimpinan BN perlu menolak mana-mana individu pada saat-saat akhir menawarkan diri menjadi calon sedangkan mereka tidak pernah mendalami masalah dan mendekati rakyat sebelum ini.

“Mereka yang kaki ampu dan hero jadian dan tiba-tiba hendak menjadi calon perlu ditolak kerana mereka akan menjadi wakil rakyat bermusim yang hanya muncul apabila sudah dekat dengan pilihan raya,” katanya.

Katanya lagi, pemimpin yang benar-benar ikhlas dan berjuang untuk rakyat berbakti tanpa mengharapkan sebarang balasan.- MalaysiaGazette