KUALA LUMPUR – Sebagai sokongan tidak berbelah bagi terhadap suaminya, Datin Diana Danielle tampil sekali lagi meluahkan rasa hatinya buat suami, Datuk Farid Kamil,
Menerusi entri laman sosial Instragram, Diana yakin Farid sentiasa merasakan kehadirannya di sisi setiap masa dan dia tidak kisah dengan pandangan orang sekeliling.
“Sayangku FK (Farid Kamil). Jangan tanya kenapa anda (netizen) tidak melihat saya. Dia (Farid) ‘nampak’ saya dan tahu saya ada di sana.
“Dia dapat merasakan tangan saya menggenggam tangannya. Dan semua itu yang lebih bermakna buat saya,” tulisnya dalam status yang dikongsi di malam tadi.
Menerusi entri baru di Instagram yang kini mendapat lebih 80,000 tanda suka, ibu kepada dua cahaya mata itu turut berkongsi sebuah puisi pendek nukilan seorang pemuisi dari Florida, Amerika Syarikat, Christopher Poindexter.
“Apa yang benar-benar ku mahu,
Dari mula tumbuhnya tulang-tulang di dalam tubuhku,
Adalah cuma untuk mengenal cinta,
Dan untuk cinta mengenalku,” kongsinya lagi.
Status mungkin sebagai penjelasan kepada kemusykilan peminat yang mempertikaikan ketiadaan aktres terbabit sepanjang dua kali Farid dibawa ke mahkamah termasuk semalam.
Sebelum ini dia direman empat hari atas empat dakwaan, termasuk kes menampar anggota polis di balai polis Kota Damansara dan menendang dua orang awam, Khamis lalu.
Sebelum ini, menerusi temubual dengan sebuah akhbar, Diana meminta diberikan sedikit ruang privasi berhubung kes yang menimpa suaminya itu. – MalaysiaGazette