Home Dunia UAE dakwa jet pejuang Qatar pintas 2 pesawatnya

UAE dakwa jet pejuang Qatar pintas 2 pesawatnya

UAE mendakwa jet pejuang Qatar pintas dua pesawatnya. foto Daily Mail

DUBAI – Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendakwa pesawat tempur Qatar memintas dua pesawat komersilnya di ruang udara antarabangsa yang dalam perjalanan ke Bahrain.

Agensi berita UAE, WAM yang melaporkan perkara itu dengan memetik Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (GCAA) negara itu.

“GCAA menerima mesej dari salah sebuah syarikat penerbangan UAE pada pagi Isnin bahawa salah satu pesawatnya dalam penerbangan ke Manama di laluan normal telah dipintas oleh pejuang Qatar.

“Penerbangan itu adalah perkhidmatan yang dijadualkan mengikut laluan penerbangan yang dibenarkan, memenuhi semua kelulusan dan permit yang diiktiraf dan diperlukan di peringkat antarabangsa.”

Saif Al-Thani, jurucakap kerajaan Qatar, menafikan dakwaan UAE menerusi Twitter, dengan menyebutnya “sesungguhnya ia tidak benar.”

UAE adalah pangkalan bagi dua pesawat utama negara iaitu Etihad yang beroperasi di Abu Dhabi dan Emirates di Dubai.

Menteri Luar Bahrain juga mengeluarkan kenyataan yang mengutuk keras penafian Qatar.

Susulan kejadian itu, bursa saham Qatar jatuh 2.5 peratus dalam dagangan semalam.

Krisis Qatar bermula 5 Jun apabila Bahrain, Mesir, Arab Saudi dan UAE memutuskan hubungan diplomatik dan laluan kepada Doha kerana menyokong pengganas dan berhubung rapat dengan Iran.

Kelmarin, UAE berkata, seorang ahli keluarga diraja Qatar yang mendakwa ditahan dalam rakaman video telah meninggalkan negara itu.

Seorang pegawai Kementerian Luar UAE berkata, Sheikh Abdullah Bin Ali Al-Thani telah datang ke Abu Dhabi atas permintaannya sendiri sebagai tetamu selepas kerajaan Qatar meletakkan sekatan kepadanya.

“Dia bebas bergerak dan telah menyatakan hasratnya untuk meninggalkan negara ini, semua prosedur telah diberikan tanpa apa-apa halangan,” kata pegawai itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita negara WAM.

UAE berkata, dakwaan Sheikh Abdullah ditahan adalah satu pembohongan dan menyalahkan Qatar.

Pemimpin pembangkang Qatar, Sheikh Sultan Bin Suhaim Al-Thani mengutuk pemintasan dua pesawat penumpang UAE yang dalam penerbangan ke Bahrain.

“Qatar perlu terlebih dahulu memintas pesawat Iran dan Israel yang menjelajah kawasan udaranya daripada memintas pesawat awam milik saudara-saudara kita.

“Kerajaan Qatar tidak berusaha keras dalam hal-hal yang semakin meningkat. Apabila mereka bertemu, mereka mula menjerit dan meratap dan memainkan peranan sebagai mangsa,” katanya. – MalaysiaGazette