PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu wanita diberikan peranan penting apabila negara mendepani Revolusi Perindustrian 4.0 kelak.
Bercakap merasmikan logo baharu Hari Memperkasakan Wanita 2018 di Perdana Putra, Najib berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) beriltizam untuk sentiasa meninggikan peranan dan martabat wanita dalam negara ini.
“Rekod kita sangat baik dalam hal ini tapi kita belum puas hati. Negara yang selama ini tidak menunjukkan komitmen mereka untuk memperkasakan wanita sudah pun sedar kalau wanita tidak disampingkan maka negara berkenan tak mungkin berjaya,” katanya hari ini.
Hari Memperkasakan Wanita 2018 adalah anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa barisan kabinet antaranya Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadzillah Yusof.
Justeru itu kata Najib, wanita harus segera menyahut cabaran agar golongan hawa turut diangkat sebagai pembuat dasar sebagaimana yang diinginkan selama ini.
Malah kata Najib, ia perlu seiring dengan kehendak Revolusi Perindustrian 4.0 yang lebih menekankan kepada keupayaan pelaburan dan pemilikan teknologi pada masa depan.
“Apatah lagi dalam era globalisasi industri 4.0 peranan wanita semakin penting dan sebab itulah kita melihat peranan wanita lebih-lebih lagi tahun ini maka kita akan beri peluang yang lebih, dan semakin meluas.
“Malah ia akan dilibatkan secara menyeluruh dalam proses membuat keputusan samada dalam sektor awam mahu pun swasta,” katanya lagi.
Pada Mac tahun lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, negara sudah melepasi sasaran kuota 30 peratus untuk meletakkan golongan wanita dalam kumpulan pengurusan tertinggi apabila 1,419 pegawai wanita atau 35.6 peratus golongan itu kini berada dalam peringkat pembuat dasar di dalam sektor awam. – MalaysiaGazette.