Home Ekonomi Kenderaan EEV dijangka meningkat 60% tahun ini

Kenderaan EEV dijangka meningkat 60% tahun ini

Mustapa Mohamed berucap pada sesi "Updates of the Automotive Industry in 2017 and Outlook in 2018" oleh Institut Automotif Malaysia (MAI) di Menara MITI, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 18 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Malaysia berada di landasan betul untuk mencapai kadar penembusan 60 peratus bagi sasaran untuk kenderaan cekap tenaga (EEV) pada tahun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, prestasi kadar penembusan EEV negara tahun lepas adalah sangat baik apabila mencapai sasaran lebih daripada yang dijangkakan.

Katanya, sasaran kali ini lebih tinggi berbanding tahun lepas hasil kejayaan Dasar Automotif Negara (NAP).

Jelas Mustapa, NAP berjaya menggalakkan pengeluaran kenderaan EEV untuk pasaran tempatan.

“Jika kita lihat, sebelum kita telah letakkan sasaran 50 peratus untuk capai kadar penembusan tetapi akhirnya kita berjaya mendapat capaian 52 peratus.

“Bagi 2018, kita letak sasaran 60 peratus dan pada pendapat saya, kita akan berjaya capai sasaran ini dengan sangat baik,” katanya ketika sesi taklimat pencapaian industri automotif dan unjuran 2018 di Kementerian MITI di sini hari ini.

Tambah Mustapa Mohamed, dasar NAP telah berjaya memacu pertumbuhan EEV di Malaysia sehingga 19 pengeluar peralatan asal (OEM) menawarkan EEV kepada pasaran.

Pada 2017, kadar penembusan EEV mencapai 52 peratus, meningkat dari 42.8 peratus tahun sebelumnya.

Sebelum ini, Institut Automotif Malaysia (MAI) mengunjurkan harga kenderaan bagi pasaran tempatan akan terus kompetitif pada tahun ini selaras dengan kehendak pengguna dengan memberi keutamaan terhadap keselesaan, alam sekitar serta keselamatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari berkata, tawaran kenderaan berkualiti dan perbezaan harga semakin berkurangan menyebabkan Malaysia negara terbaik di rantau ASEAN.

Kata beliau, pengenalan NAP 2014 juga memberi banyak manfaat kepada pertumbuhan sektor automotif negara termasuk mempromosikan EEV dan mengurangkan harga kenderaan.

NAP diperkenalkan pada Mac 2006 bertujuan bagi membantu usaha transformasi dan integrasi industri automotif tempatan dalam jaringan industri serantau dan global yang semakin kompetitif.

NAP 2014 kemudiannya dilancarkan dengan beberapa objektif utama termasuk mewujudkan industri automotif tempatan yang lebih kompetitif dan berdaya saing, selain membangunkan Malaysia sebagai pusat automotif serantau bagi kenderaan EEV.

Ia turut dan menggalakkan peningkatan nilai tambah secara mampan serta pembinaan keupayaan tempatan. – MalaysiaGazette