KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini melontarkan soalan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad tentang siapa sebenarnya yang melabel beliau diktator.
Salleh berkata, bekas perdana menteri itu menulis dalam blognya semalam catatan bertajuk ‘The Dictator’ yang berbentuk sindiran dan cuba memulang paku buah keras tuduhan beliau seorang diktator dan kleptokrat semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun.
“Mahathir mengakhiri catatannya dengan berkata, “jadi teruskan menggelar saya diktator, Mahazalim dan Mahafiraun, tidak demokratik, dan menjadi terlampau kaya melalui rasuah. Ini adalah benar, sebenar-benarnya, tiada lain melainkan benar.”
“Yang sebenarnya mereka yang menggelar Mahathir diktator, Mahazalim dan Mahafiraun, tidak demokratik dan kini menjadi terlampau kaya melalui rasuah” adalah mereka yang berada dalam Pakatan Harapan,” kata Salleh dalam catatan terbaru blog beliau hari ini.
Menteri itu berkata, Dr Mahathir mungkin lupa suatu perkara penting bahawa mereka itu kini adalah sekutu dan rakan politiknya sekarang.
“…atau apakah sebenarnya beliau memang mahu menyindir sekutu politknya sekarang?” tanya Salleh. – MalaysiaGazette