Home Politik Warga pendidik perlu berpada-pada dalam berpolitik

Warga pendidik perlu berpada-pada dalam berpolitik

Mahdzir Khalid
PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mengingatkan warga pendidik supaya berpada-pada dalam berpolitik agar tidak melanggar peraturan sebagai penjawat awam.

Katanya sebagai warga kerja kerajaan, mereka terikat dengan peraturan tertentu dalam perkhidmatan awam terutamanya berhubung hal yang bertentangan dengan dasar kerajaan.

Bercakap pada sidang media selepas menyampaikan perutusan tahun baharu kementerian itu di sini hari ini, Mahdzir berkata walaupun jumlahnya tidak ramai, kecenderungan mereka menunjukkan politik kebencian perlu diberi peringatan agar tidak berterusan.

“Walaupun ada dalam kalangan pendidik yang menyertai parti politik pembangkang, mereka perlu ‘fine tune’ dan meletakkan ‘buffer zone’ antara kerjaya dan ideologi politik agar tidak terlalu menyerlahkan watak pembenci dan antikerajaan,” katanya mengulas kecenderungan pendidik menaiki pentas pembangkang dan menyatakan secara terbuka perkara yang tidak disukai berkaitan kerajaan.

Katanya kementerian tidak berhasrat mengganggu warga pendidik terbabit sehingga perlu dipecat daripada perkhidmatan tetapi meminta mereka bertindak secara profesional selaku penjawat awam.- BERNAMA

Comments are closed.