Home Dunia Duta AS kecewa duta Afrika hina Trump

Duta AS kecewa duta Afrika hina Trump

NEW YORK – Duta Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley kesal dan berang dengan tindakan duta Afrika yang menyifatkan Presiden Donald Trump sebagai jijik.

Ekoran tindakan itu Haley kemudiannya meminta untuk bertemu duta Afrika di PBB selepas mereka menyiarkan kenyataan bersama semalam menuntut Trump meminta maaf di atas ‘kenyataan memeranjatkan, berunsur perkauman dan tidak menyukai negara Afrika’.

Namun Duta Equatorial Guinea yang menjadi pengerusi Kumpulan Afrika, Anatolia Ndong Mba berkata, Haley tidak memohon maaf ketika pertemuan tertutup tetapi menyatakan kekesalan.

Misi AS enggan menyatakan sama ada Haley menyedari kemarahan susulan kenyataan Trump seminggu lalu pada pertemuan dengan ahli perundangan mengenai pembaharuan imigresen di Rumah Putih.

Ndong Mba berkata, kumpulan negara-negara Afrika mencadangkan kepada Haley supaya mengendurkan ketegangan, yang berjanji menyampaikan ia kepada Trump.

Diplomat yang enggan dikenali berkata, mereka mencadangkan supaya Trump menghantar mesej aman kepada pemimpin Afrika pada persidangan di Addis Ababa sebagai tanda muhibbah. -MalaysiaGazette