SEOUL – Korea Utara memutuskan untuk memungut tol di lebuh rayanya bermula minggu ini, apa yang dilihat keperluan mendesak mendapatkan wang ketika sekatan antarabangsa dikenakan berikutan provokasi nuklear dan peluru berpandu, lapor sebuah badan penyiaran Amerika Syarikat.
Dalam sepucuk surat pada Isnin lalu, pihak berkuasa Korea Utara memaklumkan kedutaan asing dan organisasi antarabangsa mengenai rancangan negara itu mengenakan tol di lebuh raya utama, kata Radio Free Asia yang memetik seorang diplomat yang tidak mahu dikenali di Pyongyang.
Langkah tersebut akan berkuatkuasa esok, dengan lebuh raya Pyongyang-Wonsan menjadi sasaran utama, kata badan penyiaran itu yang dipetik agensi berita, Yonhap.
Bagi perjalanan pergi balik menggunakan lebuh raya Pyongyang-Wonsan, pemandu kereta sedan perlu berbelanja sebanyak €8, berdasarkan kadar tol ditetapkan pada €0.02 sekilometer, kata badan penyiaran itu sambil menambah kira-kira €27 dikenakan ke atas bas.
Kadar tol itu turut dikenakan kepada penduduk tempatan dan asing, katanya. – Agensi