KUALA LUMPUR- Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail mengucapkan terima kasih kepada juruterbang dan krew kapal MH122 kerana berjaya mengendalikan situasi dengan tenang dan membuat keputusan tepat selepas pesawat berkenaan mengalami masalah teknikal.
Beliau dalam satu kenyataan turut memohon maaf kepada kesemua penumpang kerana terpaksa berhadapan dengan situasi yang tidak diduga itu.
“Saya memohon maaf kepada semua penumpang yang berhadapan dengan insiden ini dan amat memahami ketakutan yang dialami oleh mereka.
“Kapten operasi dan kesemua anak-anak kapal sentiasa berjaga-jaga dan membuat keputusan tepat untuk mendapatkan bantuan teknikal daripada lapangan terbang berdekatan sebelum melakukan pendaratan di Alice Springs.
“Tidak terdapat sebarang kekecohan di dalam kabin. Saya mengucapkan terima kasih kepada kesemua anak-anak kapal kerana berjaya menguruskan situasi mengikut peraturan yang ditetapkan dalam keadaan yang paling tenang.
“Kesemua anak-anak kapal menjalankan tugas masing-masing dengan cemerlang sejajar dengan latihan berterusan di dalam menguruskan situasi sebegini. Keselamatan paling utama, tiada kompromi,” katanya.
Pesawat yang berlepas dari Sydney itu sedang dalam penerbangan ke Kuala Lumpur bagaimanapun terpaksa melakukan lencongan ke Lapangan Terbang Alice Springs, Australia kerana mengalami masalah teknikal.
Berdasarkan laporan yang diterima, Kapten Izham berkata, terdapat bunyi bising di bahagian kanan enjin.
Ini diikuti dengan petunjuk amaran yang menyala pada sistem pemantauan elektronik pesawat yang menyebabkan juruterbang terpaksa meminta anak-anak kapal bersiap untuk mendarat
Menurut Malaysia Airlines, kesemua penumpang ditempatkan di empat buah hotel berhampiran lapangan terbang. Mereka disediakan makanan dan pengangkutan.
Para penumpang akan meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur menerusi penerbangan MH148.
“Pesawat akan berlepas dari Melbourne dan dijadualkan tiba di Alice Springs pada 4.15 petang dan dijadualkan meninggalkan Alice Springs pada jam 5.45 petang menuju Kuala Lumpur.
“Pesawat akan tiba di Kuala Lumpur pada jam 9.50 malam hari yang sama,” katanya.-MalaysiaGazette