KUALA LUMPUR- Tiga konsortium Malaysia dan sebuah syarikat usahasama dengan China telah menghantar tender pemaju utama (turn-key) dengan pembiayaan bagi projek MRT Circle Line (MRT3) apabila tempoh penghantaran tender ditutup semalam.
Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, konsortium-konsortium tersebut adalah Sapura-TIEC Consortium, MMC-Gamuda-George Kent Joint Venture, Pacific-Mudajaya-JEC Consortium dan China Communications Construction Company Ltd- China Communications Construction Company (M) Sdn. Bhd. JV.
Pengarah Projek MRT Corp Circle Line, Datuk Zohari Sulaiman berkata, mereka gembira dengan maklum balas baik daripada pembida bagi projek berkenaan.
“Majoriti pembida adalah konsortium tempatan dan mempunyai kemampuan untuk memenuhi kelayakan yang diperlukan untuk menyertai bidaan tersebut.
“Ini sekali gus membuktikan dakwaan model tender pemaju utama bakal menutup peluang pembida tempatan adalah salah,” katanya.
Tender dibuka sejak 15 November 2017 dan sepatutnya ditutup pada 29 Disember lalu bagaimanapun dilanjutkan sehingga semalam selepas mendapat permintaan daripada peserta yang memerlukan masa yang lebih lama untuk memuktamadkan kertas cadangan pembiayaan terbaik.
MRT Corp. akan melakukan penilaian berdasarkan tiga kriteria: teknikal, kemampuan kewangan dan pakej pembiayaan.
Mereka kemudiannya akan membuat rekomendasi yang akan dihantar ke Kementerian Kewangan untuk dimuktamadkan dan diluluskan.
Kontrak dijadualkan dianugerahkan dalam suku pertama 2018.
MRT3 dijangka melibatkan laluan sepanjang 40km yang mana 32km akan berada di bawah tanah dilengkapi 26 stesen.
Jajaran tersebut akan berlegar sekitar pusat bandar Kuala Lumpur dan menghubungkan semua rangkaian rel urban Lembah Klang, sekali gus menyediakan kemudahan dan mobiliti yang lebih besar kepada pengguna. – MalaysiaGazette