KUALA LUMPUR – Kerja-kerja merobohkan bangunan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau dijangka selesai pada penghujung Mac depan.
Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail berkata, kerja-kerja itu termasuk melantik kontraktor sudah bermula sejak Disember tahun lepas.
Menurutnya, ketika ini pihaknya sedang meneliti pemilihan kontraktor yang sesuai sebelum memulakan kerja-kerja merobohkan struktur tol tersebut pada bila-bila masa.
“Kita dalam proses melantik kontraktor-kontraktor yang layak bagi kerja-kerja ini. Kita jangkakan selepas sambutan Tahun Baru Cina, kita akan dapat laksanakan proses perobohan ini.
“Daripada jadual yang telah kita siapkan, kita jangka kerja-kerja meroboh ini akan selesai semuanya pada penghujung Mac depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Azman, kerja-kerja perobohan hanya boleh dilakukan secara berperingkat kerana perlu mengambil kira kesesakan trafik selain persekitaran lebuhraya itu sendiri.
“Kita tidak akan sesekali berkompromi aspek yang membabitkan keselamatan pengguna jalan raya kerana itu keutamaan kita.
“Kerja-kerja awalan seperti pemindahan peralatan tol, papan tanda serta aset-aset lain akan dilaksanakan terlebih dulu sebelum kerja merobohkan struktur fizikal bermula.
“Kami di PLUS juga mahu menasihatkan pemandu supaya memperlahankan kenderaan, mematuhi semua papan tanda keselamatan dan lebih berhati-hati ketika menghampiri kedua-dua plaza tol terbabit,” tegasnya. – MalaysiaGazette