KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membatalkan sepina yang diperoleh Ketua UMNO Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos supaya bekas Perdana Menteri itu menjadi saksi dalam satu kes saman berhubung Bersih 3.0.
Sehubungan itu Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam kes saman aktivis, Maria Chin Abdullah terhadap Jamal, yang kini pada peringkat perbicaraan.
Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Ilyani Noor Khuszairy mewakili Dr Mahathir serta peguam V. Mugunthan dan Mohamed Nasser Yusof bertindak bagi pihak Jamal manakala Maria diwakili peguam N. Surendran dan Latheefa Koya.
Ilyani ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menolak permohonan Dr Mahathir atas alasan anak guamnya mempunyai pengetahuan berkenaan Bersih 3.0 kerana beliau pernah memberi kenyataan berhubung perhimpunan itu dan keterangannya dapat membantu mahkamah membuat keputusan dalam kes saman tersebut.
Peguam itu berkata Dr Mahathir, yang ketika itu Menteri Dalam Negeri juga mempunyai pengetahuan berhubung penahanan suami Maria, Yunus Ali di bawah ISA.
“Pihak kami tidak akan merayu terhadap keputusan hari ini dan Dr Mahathir akan memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman itu,” katanya.
Mohamed Naseer pula berkata pihaknya berjaya membuktikan secara prima facie bahawa Dr Mahathir perlu hadir untuk memberi keterangan di kandang saksi dan bersedia untuk menyoal beliau pada perbicaraan itu yang akan bersambung pada 5, 7, 8 dan 9 Mac ini.
Dr Mahathir dijangka memberi keterangan pada bulan Mac.
Pada 28 Sept 2017, ,Jamal memperoleh sepina itu supaya Dr Mahathir menjadi saksi dalam perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan Maria terhadapnya atas dakwaan mengaitkan Bersih 2.0 dengan kumpulan pengganas Daesh.
Pada 19 Dis 2017, Dr Mahathir memohon perintah mahkamah untuk membatalkan sepina itu atas alasan beliau tidak mempunyai pengetahuan khusus berhubung isu berbangkit di dalam kes saman berkenaan.
Dalam permohonannya, Dr Mahathir turut mendakwa sepina yang diperoleh defendan telah menyalahgunakan proses mahkamah dan berniat jahat terhadapnya dengan bertujuan untuk mereka-reka gimik politik defendan berhubung dengan perbicaraan kes saman tersebut.
Pada 14 Nov 2017, mahkamah membenarkan permohonan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun untuk membatalkan sepina yang diperoleh Jamal supaya beliau menjadi saksi dalam kes yang sama.
Mahkamah membenarkan permohonan itu atas alasan Mohamad Fuzi, yang ketika itu merupakan Pengarah Cawangan Khas, tidak mempunyai pengetahuan berhubung penahanan Maria mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Pada 7 Okt 2016, Maria yang juga pengerusi Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menyaman Jamal yang merupakan Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu dan Gerakan Merah Malaysia (GMM) selaku defendan.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Maria, 61, selaku plaintif mendakwa pada 28 Sept 2016, Jamal telah mengeluarkan kata-kata fitnah dalam satu sidang media di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra dan telah diterbitkan serta disiarkan di beberapa portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.
Plaintif juga mendakwa pada 4 Okt 2016, Jamal sekali lagi mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan telah diterbitkan pada 5 Okt tahun sama di portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.
— BERNAMA