KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar tidak beranggapan pengumuman kerajaan mengenai empat insentif kepada pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai ‘gula-gula’ menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 tidak lama lagi.
Beliau berpendapat, tujuan insentif itu adalah ikhlas kerana pesara polis memang mendesak untuk mendapat ‘gula-gula’ itu.
“Apa makna gula-gula dan adakah lepas PRU akan tarik balik? Tidak ada (gula-gula) dan sudah beri, berilah.
“Memang pesara polis mahu benda itu, apa tujuan kerajaan kena tanya kerajaan lah. Bagi kami memang desak untuk dapat ‘gula-gula’ itu,” katanya.
Hanif berkataka demikian ketika ditemui media pada majlis pelancaran buku Golden 66: Class off MCKK (Kolej Melayu Kuala Kangsar) dan penyerahan buku MCOBA (Persatuan) Pelajar Tua Maktab Melayu.
Beliau merupakan Pengerusi Pengelola MCKK.
Awal minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan empat insentif kepada pesara PDRM iaitu peruntukan RM3 juta sebagai menghargai perkhidmatan mereka untuk negara sebelum ini.
Peruntukan RM3 juta itu akan disalurkan ke dalam tabung amanah warisan polis pada setiap tahun dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Najib turut mengumumkan tiga insentif lain kepada pesara polis seperti memperuntukkan kuota khas untuk pesara polis menunaikan haji di Tanah Suci Mekah dan juga menyediakan kuota 10,000 unit skim perumahan mampu milik kepada pesara polis dan akan membuka cawangan persatuan pesara polis di setiap negeri bagi memudahkan membantu kebajikan pesara polis.
Mengulas lanjut, Hanif menyambut baik insentif tersebut terutama insentif harga rumah yang munasabah dan kuota khas haji.
“Bukan senang nak dapat kuota haji dan baguslah. Kerajaan juga akan buka cawangan pesara di semua negeri dan ia memudahkan kerana pesara tidak perlu lagi datang ke Kuala Lumpur.
“Pesara polis ini bukan ada duit, sudah pencen dan tua. Tidak payah naik turun lagi bila cawangan ada di semua negeri,” katanya. – MalaysiaGazette