Home Dunia Filipina gantung penghantaran warganya ke Kuwait

Filipina gantung penghantaran warganya ke Kuwait

Rodrigo Duterte

MANILA – Filipina telah menggantung penghantaran pekerja ke Kuwait sementaramenyiasat kematian beberapa warganya di sana.

Pengharaman itu dimaklumkan sehari selepas Presiden Rodrigo Duterte mendakwa keganasan majikan di Kuwait hingga menyebabkan empat warganya bunuh diri.

Duterte berkata, beliau sedar ramai wanita Filipina mengalami penderaan seksual di negara yang kaya dengan minyak itu.

Kuwait telah menghubungi pihak berkuasa Filipina mengenai dakwaan tersebut.

Setiausaha Buruh Filipina, Silvestre Belo dipetik sebagai berkata, terdapat sejumlah kes yang teruk dan sedang menyiasat enam atau tujuh kes.

Awal Januari lalu, seorang wanita Filipina yang didakwa membunuh dirinya di Kuwait dikembalikan ke kampung halamannya.

Keluarganya mendakwa, tubuh wanita itu menunjukkan tanda-tanda penganiayaan dan organ-organ wanita itu hilang, kata Nikkei.

Terdapat lebih 250,000 warga Filipina yang bekerja di Kuwait, menurut Kementerian Luar Filipina.

Kebanyakannya bekerja sebagai pembantu rumah atau pembantu domestik.

Lebih 2.3 juta warga Filipina bekerja di luar negara termasuk di Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Arab Saudi.

Mereka ini telah membuat kiriman wang ke Filipina dengan unjuran sebanyak AS$2 bilion setiap bulan. – MalaysiaGazette