PUTRAJAYA- Syarikat-syarikat yang berkeupayaan namun gagal membayar cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) perlu bersedia untuk didakwa.
Ini kerana menurut Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T. Subromaniam, sejumlah 5,000 kertas siasatan telah dibuka bagi mendakwa syarikat-syarikat berkenaan.
Jelasnya, syarikat-syarikat yang bakal didakwa kerana melanggar Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan itu adalah syarikat-syarikat besar dan berkemampuan untuk membayar cukai.
“Jika syarikat kecil, kita masih memberi nasihat untuk meningkatkan kefahaman mengenai cukai ini tetapi untuk syarikat besar, mereka patut sedar mengenai tanggungjawab percukaian ini.
“Ini adalah kelebihan GST berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dahulu.
“Syarikat-syarikat ini tidak boleh lagi lari dan menipu dalam pembayaran cukai kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kayuhan Amal Kastam 1Malaysia di sini hari ini.
Tambah Subromaniam, jika di bawah sistem percukaian SST, syarikat-syarikat ini memang mempunyai peluang untuk menipu pembayaran cukai namun tidak lagi mampu berbuat demikian apabila GST mula diperkenalkan oleh kerajaan pada April 2015.
Katanya, para peniaga atau syarikat perlu mendapatkan maklumat lengkap mengenai GST dan boleh mendapatkan khidmat nasihat melalui persatuan atau berjumpa terus dengan pegawai-pegawai JKDM.
Malah JKDM sendiri telah melantik Duta GST yang terdiri daripada pegawai agensi berkenaan untuk membantu dan menyebarkan maklumat mengenai GST.
Setakat ini sejumlah 465,000 syarikat sudah mendaftar untuk GST dan jumlah itu melebihi sasaran iaitu sebanyak 200,000 syarikat
Subromaniam juga turut menyasarkan kutipan GST sebanyak RM43 billion pada tahun ini, manakala pada tahun lalu, JKDM kutipan GST sebanyak RM42 billion. – MalaysiaGazette