IPOH – Perak berazam muncul juara keseluruhan dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 70 pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-19 yang dijadual berlangsung di negeri itu September depan.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sasaran tersebut mampu direalisasikan sekiranya semua atlet yang mewakili Perak pada kejohanan kali ini berjuang bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama negeri.
Katanya kelebihan selaku tuan rumah harus digunakan sebaiknya untuk menggapai kejuaraan buat julung kali sekali gus mengatasi rekod terbaik sebelum ini iaitu di tempat ketiga pada Sukma 2002 di Sabah dengan kutipan 49 pingat emas.
“Saya mempunyai keyakinan dengan atlet-atlet kita kerana kalau kita lihat ada kalangan mereka yang telah menyumbang (pingat) bukan sahaja di peringkat negeri, malah di persada antarabangsa termasuk Olimpik.
“Dengan potensi, bimbingan dan beberapa strategi yang disusun, saya yakin Perak akan muncul juara atau setidak-tidaknya memberi saingan yang kuat,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran maskot, logo dan lagu tema Sukma ke-19 Perak 2018 Wow! Kita Hebat! di sini, malam tadi.- BERNAMA