KUALA LUMPUR – Tidak ada keperluan Pas memberikan senarai calon pilihan raya umum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata timbalan presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim berkata dengan mekanisme dalaman parti menerusi penelitian dijalankan oleh Majlis Syura Ulama adalah lebih telus dan tidak perlu untuk mereka merujuk kepada agensi kerajaan tersebut.
“SPRM hanya menapis dari sudut rasuah, Syura menapis dari segi syarak, akhlaknya, amalan hariannya dan keluarganya. Jadi kita tidak perlu serahkan kepada SPRM atau pihak-pihak lain,” beliau dipetik berkata.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menyatakan dengan kekuatan jentera dimiliki mereka mampu menghadapi pilihan raya umum ke-14 nanti bersama-sama Gagasan Sejahtera untuk melawan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
“PAS dan Gagasan Sejahtera telah bersedia menghadapi PRU14. Semua jentera sudah bersedia,” katanya.
Menjelang pilihan raya yang akan diadakan tahun ini, hanya BN sahaja setakat ini menghantar senarai calon mereka kepada SPRM untuk semakan tapi tidak ada satu pun parti pembangkang yang menghantar nama calon mereka untuk disemak. – MalaysiaGazette