Home Kembara Duriotourism tarikan baharu Kuala Kangsar

Duriotourism tarikan baharu Kuala Kangsar

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan tarikan baharu agropelancongan berasaskan durian pertama di negara ini dikenali Duriotourism di Kuala Kangsar, Perak.

KUALA KANGSAR – Sebut nama Kuala Kangsar pasti terbayang bandar yang terletak di tebing Sungai Perak.

Terletak kira-kira 48 kilometer dari bandaraya Ipoh, bandar diraja itu sentiasa ‘melambai-lambai’ tetamu dari dalam dan luar negara untuk singgah ke mempunyai aset pelancongan yang tidak dimiliki negeri-negeri lain

Tidak keterlaluan mengatakan Kuala Kangsar begitu eksklusif kepada penduduk negeri Perak.

Ini kerana setiap kali diajukan soalan kepada orang luar yang berkunjung ke bandar diraja Kuala Kangsar mengenai apa yang mereka tahu tentang bandar tersebut, jawapan yang diterima adalah ‘Labu Sayong’.

Justeru, pusat kraf tangan yang terletak di Enggor ini menjadi salah satu destinasi yang sering menjadi persinggahan pengunjung.

Bab makanan jangan lupa dengan laksa yang cukup popular.


MDUR 79 antara durian yang dihasilkan oleh MARDI Kuala Kangsar di Kampung Talang Hulu, Kuala kangsar.

Namun ketika ini, Kuala Kangsar memiliki tarikan baharu iaitu Duriotourism.

Terletak di Kampung Talang Hulu, tapak agropelancongan tersebut yang berkeluasan 39.5 hektar itu memiliki pelbagai jenis varieti durian bermutu tinggi seperti D24, D99, MDUR78, MDUR79, MDUR 88 dan Musang King.

Dengan bayaran masuk sebanyak RM50 seorang, pengunjung berpeluang melawat ladang durian seluas 22 hektar dengan menaiki tram selain menikmati raja buah itu secara segar terus dari ladang.

Pengunjung turut berpeluang memetik sendiri buah-buahan lain yang turut terdapat di sana seperti limau bali, manggis, rambutan dan kelapa selain merasai suasana sebenar di ladang dan menyertai aktiviti riadah seperti perkhemahan, berbasikal serta memancing.

Dua pengunjung ladang Duriotourism menunjukkan buah manggis yang dipetik sendiri di MARDI Kuala Kangsar di Kampung Talang Hulu, Kuala Kangsar.

Diilhamkan oleh Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Perak, agensi kerajaan itu menyasarkan menerima peningkatan pengunjung melalui program agro pelancongan berasaskan durian, Duriotourism pada tahun ini berikutan pelbagai aktiviti yang akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Timbalan Pengarah Mardi Perak, Salmizi Saad berkata, sejak diperkenalkan pada Disember lalu, Mardi Kuala Kangsar menerima sambutan memberangsangkan dari seluruh negara.

Menurutnya, Mardi Kuala Kangsar menerima kira-kira 1,000 pengunjung pada setiap minggu dan mereka diberikan masa selama dua jam untuk merasai pelbagai pengalaman menarik.

“Kami menjangkakan jumlah pelancong akan meningkat berikutan terdapat dua kali musim durian iaitu pada Mei hingga Jun dan November hingga Disember tahun ini.

“Kami juga akan memperkenalkan pelbagai aktiviti menarik seperti aktiviti riadah memancing, berkayak dan berkhemah selain memberikan pengalaman kepada pengunjung merasai suasana sebenar di ladang,” katanya ketika baru-baru ini.

Pengunjung Duriotourism menaiki trem yang disediakan untuk ke ladang durian menikmati keenakan buah durian pelbagai jenis.

Salmizi berkata, pengunjung boleh menaiki tram untuk melakukan pelbagai aktiviti menarik, antaranya memetik pelbagai jenis buah-buahan dan menikmati raja buah itu secara segar terus dari ladang.

Jelasnya, antara tanaman utama lain ialah manggis, mesta, rambutan, limau bali, kelapa dan tanaman nadir.

“Pengunjung memberi maklum balas yang positif dengan pakej ditawarkan dan berbaloi kerana dapat menikmati durian di kawasan ladang serta mendapat maklumat mengenai peranan Mardi dan pendedahan kaedah pelbagai jenis tanaman yang terdapat di kawasan itu.

“Sesiapa yang berminat mengunjungi Mardi Kuala Kangsar bolehlah hubungi ibu pejabat untuk membuat tempahan,” katanya.

Mengulas mengenai Duriotourism, Salmizi berkata, Mardi Perak mengambil inisiatif membangunkan Duriotourism dengan mengetengahkan lima konsep iaitu teknologi, inovasi, pemuliharaan, pendidikan dan rekreasi (Ticer).

“Duriotourism adalah konsep pertama diperkenalkan di negara ini tanpa mengira musim raja buah, bertujuan memperkenalkan Mardi Kuala Kangsar sebagai destinasi agro pelancongan yang berkeluasan 39.5 hektar dan mempunyai pelbagai jenis tanaman,” katanya.

Menurutnya, Duriotourism diadakan bukan sahaja pada musim durian, malahan ia akan diadakan sepanjang tahun dengan mengadakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung.

“Pada musim durian, pengunjung akan berpeluang untuk makan buah segar, mempelajari dan nikmati alam sekitar. Terdapat enam aktiviti yang ditawarkan iaitu Durio Tour, Durio Festival, Durio Products, Durio Muzium, Durio Chalet dan Friends of Durio,” katanya. – MalaysiaGazette