Home Politik Mahdzir guna pentas dialog nafi dakwaan ugut guru

Mahdzir guna pentas dialog nafi dakwaan ugut guru

Mahdzir Khalid

KAJANG – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini menggunakan pentas dialog bersama warga pendidik untuk sekali lagi menafikan beliau mengugut guru yang menyokong pembangkang.

Malah, beliau mahu ayat yang keluar dari mulutnya hingga menjadi tular baru-baru ini dinilai daripada sudut yang positif.

“Kalau ada guru yang terlibat dengan parti pembangkang buat sedikit buffer zone, boleh fikir, kamu seorang penjawat awam dan kamu juga seorang ahli parti politik pembangkang.

“Janganlah guna baju yang kamu pakai sebab pada siang kamu seorang guru dan malamnya pula kamu jadi parti politik pembangkang yang maki hamun kerajaan.

“Ayat itu diambil oleh media sosial sebagai menteri hendak buang guru yang menjadi pembangkang. Saya tak pernah kata macam tu,” tegasnya.

Bagaimanapun Mahdzir berkata, lebih elok sekiranya guru tidak terlibat langsung menjadi pembangkang.

Kelmarin, Mahdzir juga menafikan beliau mengeluarkan kenyataan berbau ugutan kepada golongan pendidik seperti yang didakwa sebuah akhbar berbahasa Cina.

Mahdzir menegaskan, guru-guru hanya tidak dibenarkan berada sepentas dalam program pembangkang kerana status mereka sebagai penjawat awam. – MalaysiaGazette