Home Ekonomi Malaysia bela pengeksport, penanam sawit – Mustapa

Malaysia bela pengeksport, penanam sawit – Mustapa

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Malaysia akan mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara pengeluar minyak sawit lain untuk mempertimbangkan lebih banyak usaha menyuarakan kebimbangan mengenai tindakan Eropah mengharamkan minyak sawit di hadapan pelbagai jawatankuasa di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia akan membangkitkan isu ini kepada Jawatankuasa Sanitari dan Phythosanitari (SPS) dan Jawatankuasa Halangan Teknikal kepada Perdagangan (TBT) pada Mac 2018 dan Jawatankuasa Akses Pasaran pada April 2018.

MITI juga menurut Mustapa ketika ini mempengerusikan mesyuarat pakar teknikal Friends of Palm Oil (FPO) di Geneva untuk mengakses sebarang impak yang mungkin berlaku daripada perkembangan terbaharu ini, serta meneroka langkah-langkah untuk mengatasinya.

“Usaha berterusan ini juga akan meningkatkan kefahaman berhubung minyak sawit Malaysia dan ini merangkumi pelbagai siri syarahan dan dialog tidak formal WTO berhubung isu ini pada bulan-bulan akan datang,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

MITI katanya, akan terus bekerjasama erat dengan Kementerian Perladangan Industri dan Komoditi untuk mengukuhkan komunikasi dengan negara-negara Kesatuan Eropah.

“Kami akan terus berjuang untuk mencari jalan penyelesaian yang adil dan terbaik untuk pengeksport minyak sawit dan pekebun kecil,” katanya. – MalaysiaGazette