KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menafikan dakwaan yang sedang tular dalam media sosial berhubung kenaikkan mendadak pembayaran balik yang dikenakan kepada peminjam dibawah agensi tersebut.
Terdahulu, tular di media sosial mengatakan pelajar perlu membayar RM700 berbanding hanya RM100 setiap bulan.
“MARA menafikan dakwaan kenaikan mendadak bayaran balik pinjaman pelajaran MARA yang dikatakan meningkat dari RM100 ke RM700 sebagaimana yang tersebar di media sosial kini,” kata agensi itu dalam satu kenyataan media.
Dalam penjelasan MARA juga, seramai 3,514 orang pelajar yang baru tamat pengajian telah menerima jadual bayaran balik pinjaman sebelum diberi pengurangan, di mana pelajar perlu memohon untuk mendapat keistimewaan ini.
Oleh yang demikian, jadual bayaran balik selepas pengurangan akan dikeluarkan setelah pelajar-pelajar memohon pengurangan bayaran balik dengan memuat naik transkrip secara atas talian melalui pautan e-Baki di portal MARA : http://apps.mara.gov.my/ebakiv2
MARA dalam kenyataan itu juga berkata mereka sentiasa mencari langkah dalam meringankan beban pelajar untuk membayar balik pinjaman mereka.
“Di bawah program pinjaman boleh ubah ini, kerajaan melalui MARA sentiasa berusaha meringankan bebanan bayaran balik pinjaman.
“Sebagai contoh, jumlah pembiayaan penuh bagi seorang pelajar perubatan adalah sebanyak RM1,000,000.00 dan selepas pengurangan, pelajar hanya perlu membayar balik sebanyak RM150,000.00 sahaja,” ujarnya. – MalaysiaGazette