Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah itu boleh melenyapkan perpaduan dalam kalangan parti-parti pembangkang yang diusahakan oleh tokoh-tokoh Pas terdahulu.
“Keputusan Pas bertanding di Permatang Pauh amatlah dikesali. Tindakan ini tidak bertanggunjawab dan menjejaskan kepentingan serta aspirasi rakyat untuk melihat pembangkang bersatu melawan Najib Razak.
“Amatlah menyedihkan melihat usaha membina perpaduan di kalangan pembangkang oleh tokoh-tokoh seperti Ustaz Fadzil Noor dan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat digadaikan oleh pimpinan PAS hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof pada Ahad yang akan meletakkan calon pada PRU14 akan datang.
Keputusan itu dibuat kerana berpendapat kawasan berkenaan merupakan kubu kuat Pas sebelum ia dipinjamkan kepada PKR sejak tahun 1999.
Kali terakhir Pas memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 1978 menerusi calonnya, Allahyarham Zabidi Ali yang menewaskan calon BN, Allahyarham Ariffin Daud dengan majoriti 14,352 undi.
Berang dan akibat tidak dapat menerima keputusan itu, Nik Nazmi yang juga ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula menggesa rakyat dan ahli Pas itu menilai semula perjuangan parti politik itu.
“Pengundi dan akar umbi Pas boleh menilai sendiri di mana hala tuju Pas dengan keputusan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.