KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini memberi gambaran Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) merupakan penggal terakhir baginya menjadi menteri Kabinet.
Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya berjaya mempertahankan kerusi yang ditandinginya sebelum ini dan diberi peluang menjadi menteri, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan jadi pilihannya sebelum bersara.
“Kalau saya diberi pilihan oleh Perdana Menteri sebagai penggal terakhir memegang jawatan menteri.
“Datuk Seri nak kementerian mana? Jawapannya mudah saja, Kementerian Pelancongan,” katanya ketika mengakhiri ucapannya pada Majlis Pelancaran Program Istana Budaya 2018, di Lambang Sari, Istana Budaya hari ini.
Beliau dilantik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan selepas Pilihan Raya Ke-13 (PRU13) pada Mei 2013.
Terdahulu Mohamed Nazri memegang portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri selama sembilan tahun sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) pada 2004.
Sebelum ini, jawatan Menteri Pelancongan digalas oleh Datuk Seri Dr Ng Yen Yen sejak 2009. – MalaysiaGazette