Home Nasional BR1M sesuai untuk jangka pendek

BR1M sesuai untuk jangka pendek

Ahli Panel Universiti Kebangsaaan Malaysia, Jalaludin Malek bercakap pada Wacana Cendekiawan mengenai Apa Sudah Jadi dan Apa Akan Jadi Dengan Ekonomi Orang Melayu, Dari Dasar Bumiputera ke Transformasi 50 di Bangunan Canselori UKM Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 24 JANUARI 2018

BANGI – Seorang ahli akademik berpendapat pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hanya sesuai dilaksanakan dalam jangka waktu pendek dan bukan untuk tempoh yang panjang.

Prof. Madya Dr. Jalaludin Abdul Malek dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, kerajaan perlu ada keberanian memperkenalkan kaedah baharu dalam meningkatkan pendapatan terutama kaum Melayu dan golongan kelas bawahan.

Jelas beliau, BR1M tidak sepatutnya dijadikan umpan dan hanya perlu diberikan untuk satu tempoh waktu tertentu sahaja.

“Orang Melayu dan golongan kelas bawahan perlu pandai mencari sumber pendapatan baharu kerana kerajaan sudah sedia banyak peluang.

“Kalau tidak sampai bila hendak dapat BR1M? Saya sangat kecewa bila pergi ke kampung-kampung, yang dapat BRIM ini memang orang susah.

“Contoh peneroka Felda yang banyak waktu terluang untuk bekerja dan ada pekerja yang melakukannya. Kalau tanam pisang yang ada permintaan tinggi boleh juga tambah pendapatan lagi.

“Ini lebih suka habis masa di kedai kopi dan main dam lantas dapat BR1M. Ini saya kata BR1M tidak kena pada tempatnya. Kadang-kadang ada baiknya sistem subsidi itu kerana orang akan berusaha untuk mendapatkannya.

“Tapi BR1M ini seolah tunggu bilalah hendak dapat dan belum cerita lagi ke mana digunakan wang BR1M itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi pembentangan pada Wacana Dari Dasar Bumiputera Ke Transformasi 50: Apa Sudah Jadi & Apa Akan Jadi Dengan Ekonomi Orang Melayu – Bumiputera? di UKM di sini hari ini.

Beliau menjadi panel bersama Prof. Adjung Tan Sri Dr. Kamal Salih dan Dr. Wan Fairuz Chik, masing-masing dari Universiti Malaysia.

Jalaludin menambah, pendapatan masyarakat terutama kaum Melayu ketika ini meningkat kerana pemberian BR1M dan apa akan jadi jika bantuan itu ditarik balik.

Jelas beliau, BR1M bertujuan mengharapkan bebanan tarikan subsidi agar dapat melegakan kehidupan seharian namun sampai bila pemberiannya itu dilaksanakan.

“Maknanya ada benarnya kaum Melayu perlu ubah sistem ekonomi mereka bahawa BR1M bukan satu keperluan.

“Ubah sumber pendapatan dengan menjadi usahawan. Sekarang ini macam-macam saluran seperti meniaga di pasar malam dan siber serta digital ekonomi.

“Ada dalam rumahtangga, isteri boleh dapat RM3,00 dengan meniaga online. Kenapa benda ini tidak dikembangkan dalam ekonomi keluarga?

“Jadi saya tidak senang apabila pendapatan golongan kelas rendah (B40) meningkat kerana adanya BR1M. Ia mungkin untuk jangka pendek dan bukannya jangka masa panjang,” katanya.

Jalaludin menegaskan, masyarakat perlu memikirkan cara baharu untuk menambah pendapatan dan jangan jadi isu politik kerana dasar kerajaan sentiasa berubah-ubah untuk meraih undi.

“Kita kena jadikan isu daripada B40 menjadi golongan pertengahan (M40). Jadi bila hendak tingkatkan pendapatan, BR1M bukan tujuannya dan perlu ada struktur ekonomi yang kukuh.

“Saya tidak faham kenapa BR1M dijadikan satu-satu isu untuk meningkatkan ekonomi masyarakat yang berpendapatan rendah.

“Yang terima BR1M kena faham dan ada yang manipulasi data ketika mengisi borang. Malah ada yang terima lebih satu BR1M namun berjaya ditarik semula selepas dikenalpasti penipuan data,” katanya. – MalaysiaGazette