KUALA LUMPUR – Seorang pemilik syarikat pengeluar minuman iaitu Gourmix Sdn. Bhd. mendakwa menjadi mangsa penipuan sijil halal oleh pihak ketiga.
Pemiliknya, Wong Kin Tai berkata, syarikatnya yang beroperasi di Shah Alam sejak tahun 2010 itu dihentikan pengesahan sijil halal oleh jabatan agama Islam berdasarkan maklumat palsu kononnya Gourmix telah bertukar nama kepada GFB Sdn. Bhd.
Kin Tai, 36, mendakwa hanya mendapat tahu perkara itu semasa tampil ke Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Shah Alam pada November lalu.
Dakwa beliau, perbuatan itu dilakukan oleh seorang individu dikenali Yin menerusi sepucuk surat menyatakan bahawa syarikat Gourmix Sdn. Bhd. yang diuruskan Kin Tai telah ditukar nama kepada GFB Sdn Bhd dengan alasan majoriti saham syarikat itu dimiliki olehnya.
“Saya telah memperbaharui sijil halal pada 1 September 2017 dan dua bulan kemudian iaitu pada November menerusi JAKIM tiba-tiba memaklumkan saya bahawa nama syarikat telah bertukar dan sijil halal yang diperakukan sebelum ini dibatalkan.
“Setahu saya syarikat ini (Gourmix) tidak pernah menukar nama dalam apa jua keadaan sekali pun dan saya sedih dengan perbuatan wanita tersebut,” katanya.
Ia mengakibatkan jabatan berkaitan telah mengeluarkan sijil halal atas nama GFB Sdn. Bhd. dan sijil yang diluluskan sebelum itu sudah terbatal.
“Saya sangat kecewa dengan tindakan pihak ketiga itu dan menyeru pihak berkuasa Jakim dan polis bertindak tegas ke atas individu tidak bertanggungjawab itu” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Gerakan di Cheras hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan, Ben Liew Pok Boon turut kecewa dengan insiden terbabit dan hairan kenapa sijil dikeluarkan tanpa penelitian dan soal selidik.
Beliau turut menjelaskan syarikat Gourmix mengeluarkan 10 jenis produk minuman yang mana kebanyakan langganannya adalah daripada pelanggan Muslim.
Katanya, insiden penipuan berkenaan boleh dianggap sebagai mencalar imej dan jenama halal Malaysia yang diiktiraf dunia.
“Saya terkejut mendengar nasib Kin Tai, pelik bagaimana JAKIM gagal menyiasat surat penukaran nama yang dikeluarkan wanita itu dan mengeluarkan sijil halal tanpa memeriksa dengan syarikat asal, ini satu unsur penipuan dibawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan.
“Kami akan bekerjasama dengan polis serta akan bertemu pengurusan tertinggi JAKIM di Putrajaya hari ini untuk menyelesaikan perkara ini selain mengambil tindakan ke atas individu yang bertanggungjawab itu.
“Kita akan mendapatkan penjelasan JAKIM dan kemudian akan merujuk perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam masa terdekat.
“Ini isu halal, dan kita tidak boleh terus berdiam diri jika ada individu cuba main-main dalam hal ini,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette