PUTRAJAYA – Pengendali laman web Lowyat.net bakal dipanggil Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan mengenai pendedahan kebocoran data penderma organ membabitkan lebih 220,000 orang di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mendapati laman itu turut mendedahkan kebocoran data 56 juta pelanggan telefon mudah alih, tahun lepas.
“Kita khuatir data yang keluar itu datang dari sumber sama. Kita sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini.
“Polis telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi kes terdahulu,” katanya pada sidang media pada Majlis Kesyukuran Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Auditorium Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan portal Lowyat.net yang mendedahkan senarai penderma organ berjumlah lebih 220,000 orang dipercayai dicuri pada September 2016.
Portal itu juga melaporkan lebih 440,000 orang terkesan dengan kebocoran data terbaru ini kerana maklumat peribadi orang yang mempunyai hubungan dengan penderma organ juga terdapat dalam set data tersebut.
Laporan itu turut menyebut data berkenaan dipercayai dicuri dari hospital-hospital kerajaan dan Pusat Sumber Transplan Nasional. – MalaysiaGazette