PUTRAJAYA – Tokoh-tokoh korporat dan ketua NGO yang menerima watikah pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyifatkan penganugerahan yang diterima hari ini sebagai satu penghormatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Destini Anak Bangsa, Datuk Mohd. Aizuddin Ghazali berkata, anugerah yang diterima itu ia mampu menggalakan masyarakat untuk turut sama menyertai pasukan berkenaan tidak kira apa jua latar belakang.
Katanya, masyarakat perlu mempunyai rasa tanggungjawab dalam membantu kerajaan dan peranan mereka boleh dimainkan melalui penyertaan seperti menjadi sukarelawan APM ini.
“Saya terbuka untuk menyertai APM kerana bukan sahaja dapat membantu orang ketika berlakunya banjir tetapi cara ini dapat membuktikan bahawa sebagai masyarakat kita juga boleh berbakti kepada negara,” katanya.
Bagi Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Datuk Azwanddin Hamzah anugerah yang diterimanya itu mampu menjadi satu titik tolak kepada lebih banyak lagi NGO lain menyertai pasukan beruniform seperti APM.
Katanya, beliau percaya sekiranya ketua-ketua pertubuhan NGO yang ada mahu menyertai pasukan seperti APM sudah pasti ahli-ahli dalam pertubuhan yang dinaungi akan mengikut langkahnya.
“Bayangkan berapa ramai anggota sukarelawan dapat dilahirkan dan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku sesuatu seperti bencana alam,” ujarnya yang kini memakai pangkat Kolonel Kehormat.
Sementara itu seorang usahawan, Datuk Shuhaini Shafie berbangga kerana menjadi salah seorang daripada penerima watikah pada hari ini.
Katanya, watikah penganugerahan itu membawa erti yang sangat besar kerana ia mambuka mata masyarakat tidak kira siapa pun mereka.
Tambahnya, dengan menyertai pasukan itu beliau cuba membawa kepada satu bentuk pengurusan bencana yang lebih efisien setanding apa yang dilakukan di negara Jepun.
“Saya cuba untuk menerapkan APM ini di sekolah-sekolah agar setiap guru besar membawa unit-unit APM di sekolah menjadi lebih terlatih.
“Kita mahu terapkan perkara ini lebih awal iaitu dari dalam kalangan pelajar sekolah agar mereka tahu membantu menguruskan risiko sekiranya berlaku malapetaka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette