Home Nasional Perketat keselamatan pangkalan data – Salleh

Perketat keselamatan pangkalan data – Salleh

KUALA LUMPUR – Pengendali pangkalan data mengenai penderma organ perlu meningkatkan keselamatan penyimpanan maklumat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai ketirisan lebih 220,000 data peribadi penderma organ di Malaysia seperti yang dilaporkan laman web Lowyat.net.

Mohd Salleh Said Keruak

“Pihak-pihak yang mempunyai dan mengendalikan data serta pengkalan data perlu untuk memperkukuhkan keselamatan data masing-masing supaya tidak berlaku sebarang kebocoran dan penyalahgunaan data,” katanya menerusi kenyataan media.

Beliau dalam masa sama memaklumkan bahawa Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat insiden berkenaan.

“Kenyataan lanjut mengenai insiden ini akan dimaklumkan oleh Jabatan PDP selepas siasatan selesai dijalankan,”

Salleh turut memberi jaminan dalang kes kebocoran data itu tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Mana-mana pihak yang disabit kesalahan boleh diambil tindakan undang-undang mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pengendali laman web Lowyat.net bakal dipanggil untuk membantu siasatan mengenai perkara itu.

Menurut beliau, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mendapati laman itu turut mendedahkan kebocoran data 56 juta pelanggan telefon mudah alih, tahun lepas. – MalaysiaGazette