Home Seni Hidup AME kembali lagi

AME kembali lagi

Nabil dan Neelofa dikekalkan sebagai hos Meletop. foto AFFAN FAUZI, 22 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Anugerah MeleTOP Era atau AME kembali lagi dengan mengekalkan format asal untuk edisi kelima merangkumi bidang muzik, radio, televisyen, filem dan digital sepanjang 2017.

Sebanyak 16 kategori dipertandingkan dan penonton diberikan kuasa sepenuhnya untuk menentukan pemenang.

Kategori yang dipertandingkan ialah Lagu MeleTOP, Penyanyi MeleTOP, Artis Lawak MeleTOP, Hos MeleTOP, Drama MeleTOP, Filem MeleTOP, Pelakon MeleTOP, Bintang Filem MeleTOP, Program Radio MeleTOP, Artis Baharu MeleTOP, Grup/Duo MeleTOP, Fesyen MeleTOP, Program MeleTOP, Si Cilik MeleTOP, Couple MeleTOP dan Penyampai Radio MeleTOP.

Menurut kenyataan Astro, undian fasa pertama mula dibuka mulai 22 Januari 2018 bermula 6 petang hingga 23 Februari 2018 untuk menentukan lima calon terbaik daripada 20 pencalonan awal.

“Undian boleh dibuat secara online di tiga buah platform iaitu di laman web rasmi www.anugerahmeletopera.com.my, aplikasi ERA dan aplikasi RAKU yang boleh dimuat naik secara percuma di App Store dan Google Play Store.

“Seterusnya undian fasa kedua untuk menentukan pemenang akhir untuk setiap kategori pula boleh dibuat menerusi laman web rasmi, aplikasi ERA dan RAKU serta kiriman SMS bermula 6 Mac 2018, pukul 1 tengahari hingga 8 April 2018, pukul 12 tengahari,” katanya.

AME 2018 akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada pukul 9 malam 8 April ini.

Majlis anugerah itu akan disiarkan secara langsung di Astro Ria (104), Astro Prima (105), Astro Ria HD (123) dan Astro Maya HD (134) dengan Nabil dan Neelofa sebagai hos pada malam kemuncak anugerah itu.

Nabil Ahmad dan Neelofa dikekalkan sebagai hos utama bagi mengendalikan AME 2018. – MalaysiaGazette