KUALA LUMPUR – Azwan Ali membuat laporan polis mendesak polis menyiasat kes skandal seks dan salah laku Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Kata selebriti itu, video bertajuk ‘Asalkan Bukan Shamsidar!7 wanita Gelap Azmin Ali’ di blog Malay-Glamour.com.
Menurutnya, maklumat tentang kes itu diperolehi ketika sedang melayari internet di sebuah hotel di Jalan Sultan Ismail dan setelah diasak oleh netizen beliau membuat laporan polis.
“Tujuan utama laporan polis ini ialah untuk pihak polis menjalankan siasatan terperinci dan mengesahkan status kes, kebenaran dan kesahihan laporan blog tersebut.
“Laporan polis ini juga menjurus kepada satu siasatan polis ke atas e-mel yang didakwa milik Shamsidar Taharin iaitu isteri MB Selangor yang dihantar kepada Azmin Ali, suami beliau juga telah tersebar luas.
“Jika terbukti kesahihan kes termasuk skandal seks dengan isteri orang, tindakan segera perlu kerana kes ini melibatkan seorang penjawat awam tertinggi kerajaan negeri Selangor,” katanya kepada pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini.
Tambah beliau, laporan berkenaan juga menggesa polis menyiasat terhadap penulis blog Malay-Glamour.com sama ada penulisan blog itu menjurus kepada memfitnah.
Justeru, beliau mencabar Azmin mempertahankan maruah keluarga mereka berikutan penularan video skandal itu.
“Kenapa dengan Azmin Ali ini, sudah dua minggu orang buang tahi atas muka dia dan isterinya, takkan tak ada maruah untuk mempertahankan imej keluarga, itulah sebabnya saya tampil,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Azwan menjelaskan, perjuangan beliau berdasarkan kepada pronsip ‘berani kerana benar, takut kerana salah’.
“Saya sudah menjelaskan berkali-kali apatah pengikut saya juga tahu prinsip saya adalah berani kerana benar dan akan berjuang habis-habisan kerana konsep perjuangan adalah berlandaskan Islam dan mencegah kemungkaran.
“Oleh kerana puak dia (Azmin Ali) tak berani ke depan, maka saya tampil meminta polis bertindak demi mempertahankan kesucian Islam dengan lunas undang-undang yang betul.
“Azmin kena ingat bahawa ini bukan kes main-main sebaliknya skandal ini sudah mencalar imej Islam dan melibatkan maruah pemimpin nombor satu di Selangor,” katanya.
Jelasnya, walaupun penyokong Azmin mendakwa beliau lebih cenderung meraih perhatian umum, selebriti itu akan meneruskan perjuangannya habis-habisan.
Sementara itu, Azwan mahu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merehatkan jawatan Azmin sebagai salah seorang ahli Lembaga Pengarah sehingga siasatan selesai.
“Saya tahu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sentiasa menekankan keislaman maka kes ini perlu dibersihkan yang mana sehingga Azmin Ali dan isterinya dibuktikan difitnah dan tidak bersalah, barulah melantik semula Azmin,” katanya.-MalaysiaGazette