Home Ekonomi Guna telefon pintar untuk jana ekonomi

Guna telefon pintar untuk jana ekonomi

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Rizal Faris Mohidden bercakap pada sidang media di pejabat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Bangsar, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 25 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu perlu menggunakan kemahiran mereka dalam mengendalikan telefon pintar untuk tujuan menjana ekonomi.

Orang Malaysia khususnya orang Melayu bijak dalam penguasaan teknologi internet namun, masih belum dapat mengadaptasikan sepenuhnya untuk kegunaan perniagaan menerusi alam maya, kata Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader.

“Sejajar dengan arus moden dan kecanggihan teknologi, perniagaan online sudah semestinya sesuatu yang diberi penekanan dan fokus kerana pengguna internet sudah mencapai 3 bilion pengguna yang mana 50 peratus menggunakan perbankan internet manakala bakinya berbelanja online.

“Menjelang 2022, kita jangka sebanyak 14 bilion pengguna akan mempunyai internet di kediaman masing-masing,” katanya yang merupakan Pengerusi Kumpulan Kemuncak Ever Nexus.

Rizal berkata demikian kepada media pada sesi perkenalan beliau sebagai presiden DPMM yang baharu di sini hari ini.

Mengulas mengenai DPMM, Rizal Faris berkata, dewan itu sedang menyusun beberapa langkah yang digarap di dalam pelan dan dasarnya dalam usaha memantapkan lagi peranan usahawan di peringkat global berdasarkan maklumat-maklumat yang diperoleh.

Ujarnya, meskipun peranan DPMM untuk memajukan usahawan Melayu lebih mencabar kerana saingan muncul setiap hari dan masa namun, menjadi tanggungjawab mereka untuk memandu para usahawan Melayu agar dapat bersaing di pasaran global.

Tambah beliau, dengan cara itu ia juga mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP), memimpin industri pertama di pasaran dan meningkatkan produktiviti.

Jelasnya, sasaran itu dapat memenuhi objektif penubuhan DPMM iaitu membina ekosistem yang konsisten di samping melahirkan ahli pemikir dalam kalangan usahawan bumiputera untuk meneroka ekonomi baharu. – MalaysiaGazette