PULAU PINANG – Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang hari ini memohon bantuan Pejabat Konsulat Jeneral China di sini untuk mendapatkan penjelasan daripada syarikat Railway Construction Corporation (CRCC) berhubung beberapa kemusyiklan dalam projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya yang dirancang Kerajaan DAP Pulau Pinang.
Ketua Pemudanya, Hng Chee Wey berkata, antara yang menjadi persoalan ketika ini adalah sama ada CRCC benar-benar terbabit serta sejauh mana penglibatan mereka dalam projek terowong dan tiga lebuh raya berkenaan.
Ujar beliau, laman web suruhanjaya pemantauan aset di China menunjukkan CRCC sebelum ini mengemukakan laporan yang mana telah menandatangani kontrak dengan Konsortium Malaysia Zenith BUCG Co. Ltd untuk membuat reka bentuk tiga lebuh raya dan terowong dasar laut itu dengan nilai kontrak sebanyak USD22 juta.
Bagaimanapun, kata beliau, perkara itu menimbulkan persoalan memandangkan CRCC sebelum ini menafikan terbabit dalam kerja reka bentuk projek berkenaan sebaliknya hanya mendapat merupakan syarikat pelaksana.
Dalam masa sama, beliau mendesak konsulat China mendedahkan sama ada laman web tersebut merupakan laman web rasmi suruhanjaya di negara berkenaan serta sama ada CRCC merupakan pemegang saham syarikat tujuan khas bagi projek tersebut.
“Kita berharap konsulat China dapat menjemput atau mendapat penjelasan CRCC berhubung kekeliruan ini kerana turut melibatkan sejumlah bayaran yang cukup besar.
“Apatah lagi pelbagai pihak sebelum ini termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Exco negeri memberi angka dan jawapan yang berbeza sekali gus semakin mengelirukan rakyat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan surat rasmi kepada Pejabat Konsulat Jeneral China di Jalan Tunku Abdul Rahman, Georgetown di sini hari ini.
Dalam pada itu, Chee Wey turut membidas Kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung kenyataan beliau yang mendakwa terowong dan tiga lebuh raya adalah projek berbeza yang disifatkan cuba mengelirukan rakyat.
Sedangkan, ujar beliau, laman web kerajaan negeri pada Oktober 2013 jelas menyatakan projek itu merupakan satu pakej seperti mana ketika majlis menandatangani usaha sama projek tersebut dibuat. – MalaysiaGazette