Home Nasional Berek uzur PDRM dibaik pulih

Berek uzur PDRM dibaik pulih

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) ketika membuat lawatan ke Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 26 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Anggota-anggota dan keluarga pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tinggal di berek akan menikmati kehidupan lebih selesa apabila penginapan mereka akan dibaik pulih mengikut Dasar Perumahan Negara 2.0.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah baik pulih itu termasuk penyediaan kelengkapan kemudahan yang perlu di berek-berek yang sudah uzur.

Bagi tujuan itu beliau berkata, sebanyak RM13 juta telah diperuntukan sebagai permulaan untuk menambah baik 15 blok berek anggota PDRM di Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras.

“Keperluan asas kediaman anggota PDRM perlu ikut Dasar Perumahan Negara 2.0 iaitu menambah dua bilik kepada tiga bilik.

“Selain itu, kemudahan pusat ibadah seperti masjid dan surau selain kemudahan rekreasi juga perlu ditambah baik,” katanya.

Ahmad Zahid akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyediakan kediaman anggota polis di kawasan yang kos sewa rumahnya terlalu tinggi.

Pada tengahari tadi, sebelum solat Jumaat, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri melakukan lawatan kerja di kediaman anggota Briged Tengah PGA Cheras di sini.

Terdahulu, beliau yang melakukan tugasan tiga dalam satu hari ini menyaksikan majlis menandatangani nota kerjasama antara PDRM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam siasatan kebakaran.

Ahmad Zahid kemudiannya menyempurnakan Majlis Pelancaran PDRM Night Run 2018 pada 17 Mac ini di Dataran Merdeka sempena Hari Polis ke-211. – MalaysiaGazette