Home Nasional SPRM Negeri Sembilan reman 2 pegawai polis

SPRM Negeri Sembilan reman 2 pegawai polis

SEREMBAN, 27 Jan -- Dua pegawai polis diiringi anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dibawa ke Mahkamah Khas Reman Seremban hari ini, selepas direman empat hari kerana meminta suapan berjumlah RM3,500. Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Nur Haryatie Mohd Saini terhadap dua pegawai polis berusia 33 dan 38 tahun itu. -- fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEREMBAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memperoleh perintah mahkamah untuk mereman dua pegawai polis bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah RM3,500 daripada orang awam.

Perintah reman selama empat hari sehingga Selasa ini dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman Nur Haryatie Mohd Saini selepas membenarkan permohonan Pegawai SPRM Negeri Sembilan Riduan Kadri.

Pegawai polis berpangkat inspektor berusia 33 tahun itu ditahan SPRM di sebuah restoran di Subang Jaya, Selangor pada kira-kira 9.38 malam semalam dan pegawai polis berpangkat ASP berusia 38 tahun ditahan di sebuah restoran di Cheras, Selangor kira-kira 1.25 pagi tadi.

Khamis lepas, seorang lelaki membuat laporan di SPRM Negeri Sembilan mendakwa dia dihubungi oleh seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, yang meminta suapan RM3,500 sekiranya tidak mahu pekerjanya dituduh di mahkamah atas kesalahan memiliki telefon bimbit curi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.- BERNAMA