Home Nasional Kerajaan kaji perkenal undang-undang kekang berita palsu – Najib

Kerajaan kaji perkenal undang-undang kekang berita palsu – Najib

KOTA BHARU – Kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan undang-undang bagi mengekang berita palsu yang menjadi ancaman kepada kestabilan politik dan ketenteraman awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata langkah itu perlu kerana rakyat boleh terpesong sehingga membenci kerajaan atau melakukan sesuatu seperti merusuh kerana terpengaruh dengan berita palsu.

“Kita tidak mahu berita palsu ini tersebar luas. Ini bukan bererti kita kawal internet, internet bebas lagi tetapi kebebasan itu mestilah ada dengan unsur kebertanggungjawaban,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditanya mengenai rancangan beberapa negara memperkenalkan undang-undang serupa dalam usaha mengekang berita palsu.

Terdahulu Najib menghadiri majlis bersama penjawat awam persekutuan dan negeri Kelantan di sini hari ini.

Antara lain media melaporkan Perdana Menteri Britain, Theresa May mahu menubuhkan sebuah unit baharu bagi meningkatkan usaha menangani penyebaran berita palsu dan menghalang kempen penyaluran maklumat tidak betul oleh negara lain.

Sebelum ini, Presiden Perancis, Emmanuel Macron pernah berkata, mahu memperkenalkan satu undang-undang baharu yang mengharamkan berita palsu di internet ketika kempen pilihan raya negara itu berlangsung.

Dalam pada itu, Najib berkata berita palsu akan turut menjejaskan keharmonian pilihan raya umum seperti yang berlaku sebelum ini.

Katanya, Barisan Nasional (BN) menjadi mangsa kepada berita palsu dan fitnah termasuk kononnya membawa 40,000 pengundi warga Bangladesh, yang disebar pada hari pengundian.

“BN juga pernah jadi mangsa kepada sebarang berita palsu kononnya black out (bekalan elektrik terputus), padahal orang mesti fikir kalau black out pun masih siang hari.

“Kita tutup peti undi pada pukul 5 dan 5.30 (petang), masih cerah lagi, masih boleh kira lagi…counting agent pembangkang pun ada kat situ, jadi sistem kita tidak boleh nak tipu sebenarnya,” katanya. – MalaysiaGazette